Hubungan M’sia-Qatar terus erat

KUALA LUMPUR, 6 Dis – Lawatan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al-Thani bermula 5 Disember melambangkan kesediaan negara itu untuk terus mengekalkan serta memperkukuhkan lagi hubungan dengan Malaysia bersempena meraikan jalinan diplomatik kedua-dua negara ke-44 tahun ini.

Lawatan itu juga adalah pertemuan rasmi pertama antara beliau dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad sejak perubahan kepemimpinan Malaysia pada Mei tahun ini.

Menurut laman web rasmi Kedutaan Malaysia di Qatar, sejak ikatan diplomatik terjalin pada 1974, hubungan dua hala antara Malaysia dan Qatar kekal erat dan mesra.

Kedutaan Malaysia di Doha diwujudkan pada Ogos 2004 manakala Qatar pada September tahun yang sama.

Kerjasama erat kedua-dua negara juga dapat disaksikan di forum antarabangsa di bawah Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pergerakan Negara-negara Berkecuali (NAM).

Tun Dr Mahathir Mohamad (kiri) memerhatikan Emir Qatar, Sheikh Tamim Hamad Al Thani menandatangani buku pelawat di Kediaman Rasmi Perdana Menteri, Seri Perdana, kelmarin. – Bernama

Semasa lawatan Sheikh Tamim pada Oktober tahun lepas, Malaysia dan Qatar memeterai empat memorandum persefahaman (MoU) untuk kerjasama dalam bidang undang-undang dan kehakiman, latihan diplomat serta pendidikan tinggi.

Sementara itu, semasa lawatan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke Doha bulan lepas, beliau berkata kedua-dua negara dijangka menandatangani MoU di bidang perubatan termasuk pelaburan dalam industri penjagaan kesihatan, Malaysia sebagai destinasi pelancongan perubatan untuk rakyat Qatar, farmaseutikal dan penyelidikan.

Qatar juga bersedia untuk menyalurkan dana bernilai AS$50 juta bagi membantu Malaysia menguruskan kebajikan pelarian yang berdaftar di bawah Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) di negara ini.

Aspek perdagangan juga menjadi keutamaan hubungan Malaysia dan Qatar.

Qatar merupakan rakan dagang Malaysia kelima, destinasi eksport kelapan dan sumber import ketiga terbesar di kalangan negara Asia Barat, dengan eksport pada 2017 berjumlah AS$ 0.76 bilion dan import bernilai AS$ 2.12 bilion.

Lawatan tiga hari itu dijangka memberi peluang baik kepada kedua-dua pemimpin membincangkan perkara dua hala selain bertukar pandangan mengenai pelbagai isu antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, menurut kenyataan Wisma Putra.

Emir Qatar kelapan itu juga dijadual menghadiri majlis Anugerah Kecemerlangan Antarabangsa Anti Rasuah Sheikh Tamim ketiga di Putrajaya pada Jumaat, untuk mengiktiraf individu yang cemerlang dalam bidang Pencapaian Sepanjang Hayat dan Cemerlang, Inovasi, Kreativiti dan Keterlibatan Belia serta Penyelidikan Akademik dan Pendidikan. – Bernama