Hubungan perdagangan Uzbekistan-M’sia kukuh

KUALA LUMPUR, 16 JUN – Kepelbagaian perdagangan antara Malaysia dan Uzbekistan sejak beberapa tahun kebelakangan ini, menjadikan Uzbekistan kini muncul sebagai rakan dagang terbesar Malaysia di Asia Tengah.

Duta Uzbekistan ke Malaysia Ravshan Usmanov dalam satu temu bual dengan Bernama berkata kedudukan yang strategik sebagai koridor ekonomi utama dengan infrastruktur pengangkutan yang maju membantu negara ini meningkatkan perolehan perdagangan dengan negara di rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia.

Secara amnya kerjasama perdagangan dan pelaburan berkembangstabil antara Tashkent dan Kuala Lumpur, katanya. Kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik pada 1992.

“Uzbekistan dan Malaysia memiliki potensi besar untuk meningkatkan kerjasama dagangan, ekonomi dan pelaburan yang saling menguntungkan. Menurut unjuran Kementerian Pelaburan dan Perdagangan Luar Uzbekistan, pada 2021 perolehan negara akan meningkat hingga 15 peratus. Unjuran ini disediakan berdasarkan kajian data perdagangan luar kedua-dua negara,” katanya.

Perolehan perdagangan  kedua-dua negara pada 2020 adalah AS$75.76 juta, menurut Jawatankuasa Statistik Uzbekistan.

Pada 2020, jumlah barang yang dieksport dari Uzbekistan ke Malaysia meningkat kepada 60.1 peratus, dianggarkan AS$11.69 juta, berbanding AS$7.3 juta pada 2019. Jumlah barang Malaysia yang diimport ke Uzbekistan adalah AS$64.07 juta.

Import utama Uzbekistan dari Malaysia ialah minyak sawit, produk getah (termasuk sarung tangan getah), produk minyak dan gas dan industri kimia, peralatan dan instrumen pengeluaran lini, produk perabot dan barangan lain.

Katanya, eksport utama Uzbekistan ke Malaysia pula adalah baja kimia, produk pertanian, produk tekstil dan perkhidmatan. – Bernama

Minyak sawit antara produk import utama Uzbekistan dari Malaysia.