Hubungan persahabatan terus kukuh

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Okt – Hubungan dua hala dan persahabatan antara Negara Brunei Darussalam dan Republik Islam Pakistan terus berkembang serta diperkukuhkan menerusi pelbagai pertukaran dua hala termasuk pameran kebudayaan dan kesenian.

Hubungan erat kedua-dua buah negara itu, terus menjadi mesra hasil daripada inisiatif dan peranan yang dimainkan oleh Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan sejak pelantikannya pada Oktober 2016.

Perkara itu dinyatakan oleh Duta Kesultanan Oman ke Negara Brunei Darussalam selaku Dekan Kor Diplomatik, TYT Shiekh Ahmed bin Hashil Al Maskari ketika berucap pada Majlis Makan Tengah hari Perpisahan bagi TYT Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan yang menamatkan perkhidmatannya di Empire Hotel and Country Club, Jerudong, hari ini.

TYT Shiekh Ahmed bagi pihak Kor Diplomatik turut menyatakan penghargaan kepada TYT Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan serta isteri atas sumbangan mereka bukan sahaja kepada usaha untuk mengeratkan hubungan dua hala antara Pakistan dan Brunei tetapi juga kerja-kerja dan sumbangan yang diberikan kepada pelaksanaan pelbagai aktiviti yang dikendalikan oleh kor berkenaan.

Sementara itu, TYT Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan menyatakan bahawa sepanjang perkhidmatannya di Brunei, hubungan persahabatan dan kerjasama di antara Brunei dan Pakistan terus diperkukuhkan dan dipertingkatkan dalam pelbagai bidang termasuk kebudayaan, sukan, kesenian dan pertukaran lawatan pegawai tertinggi.

Beliau juga menyatakan, pengalaman selaku pesuruhjaya tinggi Pakistan ke Negara Brunei Darussalam banyak memberikan kenangan baginya dan membantunya untuk melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan dengan terbaik.

TYT Mejar Jeneral (B) Tariq Rashid Khan menyembahkan penghargaan kehadapan majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam serta kerabat diraja dan kerajaan Baginda atas kerjasama dan sokongan yang diberikan kepadanya sepanjang tempoh penugasannya sebagai pesuruhjaya tinggi Pakistan ke negara ini.

Beliau juga amat menghargai persahabatan dan kemesraan yang ditunjukkan kepada dirinya serta rakyat Pakistan yang menetap dan berkhidmat di Brunei di mana melalui interaksi itu telah mengukuhkan dan mengeratkan lagi persahabatan antara kedua-dua buah negara.

TYT Mejar Jeneral (B) Tariq Rahsid Khan menyampaikan ucapan pada majlis perpisahan yang diadakan di Empire and Country Club, Jerudong, kelmarin.