Hubungan persekutuan-negeri pelengkap peranan

KUCHING, 14 Mei – Hubungan tetap antara Kerajaan Negeri Sarawak dan Pakatan Harapan (PH)-mengetuai Kerajaan Persekutuan menerusi agensinya akan dapat melengkapkan peranan antara satu sama lain bagi menyediakan perkhidmatan yang terbaik untuk penduduk Sarawak.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, Kerajaan Negeri mempunyai hubungan baik dengan Kerajaan Persekutuan dan ini dibuktikan baru-baru ini dengan penubuhan jawatankuasa bertindak bersama antara Sarawak dan Kerajaan Persekutuan, yang mana beliau adalah pengerusi bersama.

‘’Ia cadangan yang baik untuk mempunyai hubungan tetap… bagi Kerajaan Negeri, kita akan memberi kerjasama sepenuhnya bagi memastikan rakyat diberi mesej yang betul,” katanya ketika menerima kunjungan hormat daripada Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia (KKMM), Eddin Syazlee Shith di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian, Shakib Ahmad Shakir dan ketua-ketua jabatan dan agensi di bawah kementerian itu di Sarawak. Antara bidang kerjasama itu, katanya, ialah liputan media mengenai penyakit rabies di Sarawak dan operasi bersepadu khas seluruh negeri melibatkan pelbagai agensi kerajaan untuk mengawal penyakit yang membawa maut. – Bernama