Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 JAN – Sebuah hud dapur telah mengakibatkan kebakaran bahagian dapur tambahan di salah sebuah rumah di kawasan Rancangan Perumahan Negara (RPN) Kampung Lugu, baru-baru ini.
Dalam kejadian tersebut, enam orang anggota bomba dari Balai Bomba Jerudong, Cawangan Operasi F yang diketuai oleh DSO Serudin bin Haji Osman, bergegas ke tempat kejadian sebaik saja menerima panggilan kecemasan.
Sampai di tempat panggilan, siasatan dilancarkan dan didapati sebuah hud dapur telah terbakar keseluruhannya di bahagian dapur tambahan rumah berkenaan, namun api telah pun dipadamkan oleh pemilik rumah tersebut menggunakan pemadam api jenis debu kering seberat 4.5kg. Dapur tersebut diperbuat daripada konkrit berukuran 3 meter lebar dan 6 meter panjang. Anggaran kerugian akibat kebakaran masih dalam siasatan dan tidak ada kemalangan jiwa dilaporkan.
Sehubungan itu, jabatan berkenaan menyarankan dan mengingatkan kepada orang ramai supaya sentiasa memastikan rumah dilengkapi dengan peralatan iaitu alat pemadam api ringkas jenis debu kering 4kg dan selimut api, selain memastikan mana-mana suis peralatan elektrik ditutup selepas digunakan atau sebelum meninggalkan rumah.
Jabatan berkenaan mengingatkan jangan sesekali me-ninggalkan masakan di dapur tanpa diawasi dan jika terdapat kebocoran pada gas pastikan untuk membuka jendela dan pintu bagi pengudaraan. Di samping itu, orang ramai juga perlu memastikan penyelenggaraan wayar elektrik dikendalikan oleh syarikat yang bertauliah mengikut piawaian yang dikeluarkan oleh pihak Jabatan Elektrik.
Jika berlaku sebarang insiden kecemasan, hubungi talian kecemasan 995 dan berikan maklumat yang tepat.