Hujan berpetir hingga hujung November

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 NOV – Semasa musim peralihan ini, Negara Brunei Darussalam akan mengalami hujan berpetir pada biasanya aktif berlaku pada waktu petang dan malam.

Keadaan cuaca yang aktif ini dijangka berlaku sehingga hujung bulan ini disebabkan oleh pengaruh sistem tekanan rendah yang terletak di kawasan barat pulau Borneo.

Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hujan lebat dan berpetir yang kadang kala disertai dengan angin kencang dengan kelajuan sehingga 50 kmsj dijangka kerap berlaku pada lewat petang hingga lewat malam bermula dari kawasan pedalaman negara merebak ke kawasan pesisiran dan kawasan laut.

Manakala, ketinggian ombak di kawasan perairan negara adalah di paras sederhana sehingga 1.5 meter dan masih berbahaya kepada pengguna bot-bot kecil.

Sehubungan dengan itu, orang ramai adalah dinasihatkan untuk mengambil perhatian akan risiko banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir semasa hujan lebat dan juga bahaya kejadian pokok tumbang semasa keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.