Hujan hambat cari mangsa korban, kini cecah 81 jiwa

MAMUJU, INDONESIA, 17 JAN – Hujan monsun berterusan telah menghambat pencarian mangsa selamat yang terperangkap di bawah bangunan ranap akibat gegaran kuat gempa bumi di pulau Sulawesi, Indonesia, selepas gegaran kuat mengorbankan kira-kira 81 orang dan ribuan lagi tanpa rumah.

Jentera pengorek dan kren telah dikerahkan di seluruh bandar tepi laut, Mamuju, di mana bangunan-bangunan ranap termasuk sebuah hospital dan pejabat gabenor serantau.

Tidak jelas berapa ramai yang meninggal dunia atau hidup, yang mungkin masih terperangkap dalam runtuhan ekoran gempa bumi berukuran 6.2 magnitud pada Jumaat.

“Hujan yang berterusan juga memberi risiko kerana bangunan musnah boleh runtuh jika ia terlalu berat…dan gempa susulan boleh menggerakkannya,” kata anggota penyelamat, Octavianto.

Pengorekan serpihan runtuhan terlalu pantas menggunakan peralatan berat yang boleh menghancurkan dan membunuh mana-mana mangsa yang masih hidup, tambahnya.

Mangsa cedera akibat gempa bumi yang berlaku pada Jumaat semasa dirawat di luar sebuah hospital serantau pada 17 Januari. – AFP

“Setakat ini semua mangsa yang ditemui telah meninggal dunia,” kata Octavianto, 37.

“Kelihatan lebih banyak mangsa sudah pun maut jika 24 jam berlalu,” tambahnya.

Puluhan penyelamat mencari di sebalik kemusnahan itu, memasukkan jasad dalam beg mayat, sementara polis hari ini menggunakan anjing penghidu unit K-9 untuk membantu mencari mangsa di sebuah hospital yang teruk terjejas.

“Kami juga menggunakan deria hidu untuk mencari mangsa,” kata penyelamat Kustang Firman di kawasan hospital.

“Jika ada bau busuk yang kuat, kami akan menumpu ke kawasan tersebut.”

Bagaimanapun pihak berkuasa belum memberi jumlah sebenar berapa ramai mangsa berjaya diselamatkan.

Sementara itu, beberapa mayat telah ditemui di bawah runtuhan puing hospital, sementara lima daripada lapan sekeluarga ditemui maut terhempap di rumah mereka.

Doktor-doktor merawat pesakit yang patah tulang dan kecederaan lain di pusat perubatan sementara yang didirikan di luar hospital di Mamuju yang kekal utuh. – AFP