Hujan jejaskan usaha menyelamat

TOKYO, 6 JULAI Hujan yang lebat menghambat usaha berpuluh-puluh ribu anggota penyelamat di barat daya Jepun hari ini ketika mereka mencari mangsa-mangsa terselamat daripada banjir dan tanah runtuh, dengan lebih banyak hujan diramalkan melanda negara itu.

Lebih 50 orang dikhuatiri maut selepas hujan lebat menghentam barat Jepun bermula Sabtu, mengakibatkan tebing sungai melimpah dan kawasan rendah dibanjiri. Cuaca buruk menjejaskan usaha-usaha menyelamat, kata pegawai tempatan, dengan sekurang-kurangnya 13 lagi belum ditemui.

“Disebabkan hujan lebat, kami terpaksa membatalkan beberapa penerbangan helikopter di zon bencana,” Tsubasa Miyamoto, pegawai dari wilayah Kumamoto memberitahu AFP.

Meskipun hujan lebat reda sedikit, banjir menghanyutkan jalan-jalan dan jambatan, menyebabkan banyak komuniti terpencil terputus hubungan.

Seorang anggota bomba di kawasan Kagoshima memberitahu AFP bahawa mereka mengerahkan anggota menaiki bot untuk menyelamatkan 11 orang, namun keadaan menjadikannya sukar untuk tiba di tempat mereka yang terkandas. – AFP