Hujan lebat berisiko banjir kilat

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 NOV – Hujan lebat diramalkan bermula malam ini hingga 25 November, disebabkan oleh pembentukan awan hujan yang aktif di kawasan Negara Brunei Darussalam.

Menurut kenyataan Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), hari ini, Brunei yang berada dalam monsun peralihan di mana keadaan cuaca aktif selalunya berlaku pada waktu petang dan malam akan menerima hujan dan hujan berpetir dijangka sekali-sekala lebat dan berangin dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45kmsj.

Sementara itu, keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit hingga sederhana mencapai sehingga 1.8 m sepanjang minggu ini.

Sehubungan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian hujan lebat yang diramalkan berlaku.

Risiko berlakunya banjir kilat boleh berlaku terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari satu jam dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan dan keadaan berangin.

Dalam pada itu, orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

BDMD memaklumkan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit iaitu Brunei WX, kerana maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook di @bruneiweather dan Instagram @bruneiweather.