Hujan lebat di Sabah, Sarawak hingga Ahad

KUALA LUMPUR, 14 JAN – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran cuaca buruk peringkat jingga dengan hujan lebat ber terusan dijangka berlaku di Sandakan, Sabah melibatkan kawasan Telupid, Kinabatangan, Beluran dan Sandakan hingga esok.

Ketua Pengarah MetMalaysia Jailan Simon dalam satu kenyataan memaklumkan amaran cuaca waspada peringkat kuning di Sarawak melibatkan kawasan Kuching, Serian, Samarahan, Sri Aman, Betong, Sarikei, Sibu dan Mukah serta Kudat di Sabah dengan hujan lebat dijangka berlaku bagi tempoh sama.

Menurut beliau, amaran cuaca waspada dengan hujan lebat juga diramal berlaku bermula esok hingga Ahad (17 Jan) membabitkan kawasan Bintulu, Miri (Subis, Beluru, Miri dan Marudi) dan Limbang di Sarawak serta pedalaman (Sipitang, Tenom, Kuala Penyu, Beaufort, Keningau dan Tambunan) dan Pantai Barat Sabah dan Labuan.

“Dalam tempoh tersebut, kejadian angin kencang boleh berlaku di kawasan pantai di negeri Sarawak dan Sabah,” katanya. – Bernama

Rakaman gambar tinjauan menunjukkan cuaca mendung, pembentukan awan altostratus di sekitar pusat bandar Labuan. – Bernama