Hujan lebat diramalkan sehingga 25 Okt ini

BANDAR SERI BEGAWAN, 20 OKT – Cuaca negara dijangka aktif pada minggu ini sehingga 25 Oktober disebabkan pembentukan awan hujan dan ribut petir yang aktif di kawasan negara dan seterusnya meningkatkan jumlah turunan hujan.

Menurut Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD) dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini, Brunei masih berada dalam musim peralihan monsun dengan ramalan ribut petir dijangka berlaku di kawasan pedalaman pada waktu petang dan merebak luas, kadangkalanya lebat, semasa ribut petir tersebut bergerak ke kawasan pesisiran pantai dan laut pada waktu malam.

Hujan dijangka lebat dan sekali-sekala berangin dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 45 kilometer sejam (kmsj).

Keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit di bawah 1m sepanjang minggu ini, tambah kenyataan. Sehubungan itu, BDMD menasihatkan orang ramai untuk mengambil perhatian akan risiko tinggi berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih dari sejam. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan dan keadaan berangin.

Orang ramai, para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan mengambil langkah-langkah awal atau perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

Kenyataan menyatakan, pihak jabatan akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa, dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit Brunei WX, kerana, maklumat, nasihat dan amaran cuaca dapat diterima terus sebaik sahaja nasihat atau amaran terkini dikeluarkan.

Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperolehi dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca, melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn.