MAE SAI, Thailand, 27 Jun – Pasukan penyelamat sedang bertungkus-lumus untuk mengeluarkan air yang membanjiri gua di Thailand hari ini di mana 12 pemain bola sepak budak lelaki dan jurulatih mereka terperangkap selama beberapa hari.
Pasukan muda yang terdiri daripada pemain berusia antara 11 dan 16 tahun itu terperangkap di dalam gua Tham Luang di utara Thailand sejak lewat Sabtu lalu apabila pintu masuk utama ke gua berkenaan tertutup oleh runtuhan tanah akibat hujan lebat.
Beratus-ratus anggota penyelamat bertungkus lumus memasang pam air tekanan tinggi bagi mengeluarkan dan mengurangkan air dari dalam gua tersebut, namun usaha itu menemui kegagalan apabila hujan lebat berterusan melanda wilayah Chiang Rai, berhampiran sempadan Myanmar dan Laos.
“Tugas hari ini lebih sukar, kami sedang berusaha keras untuk mengeluarkan air dengan memasang pam air namun paras air masih meningkat,” kata gabenor wilayah, Narongsak Osottanakorn kepada wartawan.
Keadaan persekitaran di dalam gua tersebut juga menyukarkan bagi 200 penyelamat yang dikerahkan untuk menjalani operasi mencari mangsa.

“Air di dalam gua itu berpasir dan di sana tidak mempunyai banyak oksigen,” kata Narongsak.
Gabenor berkata tiga pakar penyelam gua warga asing akan tiba hari ini untuk membantu operasi pencarian yang berlarutan selama lima hari sehingga kini.
Menurut beliau, kira-kira 1,000 penduduk telah dikerahkan bagi membantu operasi menyelamat termasuk pasukan udara, darat dan penyelam. Malah, pihak tentera turut menggunakan khidmat pasukan tindakan khas dalam membantu operasi tersebut.
Sementara itu, di Pattani, Masjid Jamek Pattani hari ini mengadakan solat hajat memohon dipermudahkan usaha mencari dan menyelamat mangsa yang hilang di gua tersebut.
Solat hajat yang disertai masyarakat tempatan dan pelajar telah diimamkan oleh Timbalan Sheikhul Islam Thailand, Prasan Sicharen.
Umat Islam turut bersimpati dengan kejadian yang menimpa kanak-kanak terbabit dengan jurulatih bola sepak mereka dan berdoa kesemua mereka serta pasukan penyelamat selamat.
Di Pusat Jagaan Anak Yatim Mujamma’ Nuruljinan Pawa, Saiburi kira-kira 100 anak yatim turut mengadakan solat hajat memohon supaya kesemua mereka yang hilang di gua utara Thailand itu berjaya ditemukan dengan selamat. – AFP/Bernama

































