Hujan lebat terus jejaskan China

BEIJING, 9 JULAI – Hujan lebat disertai tanah runtuh di China telah mengakibatkan kira-kira 14 orang maut atau hilang beberapa hari yang lalu, menenggelamkan rumah-rumah dan menyebabkan kawasan berpemandangan indah ditutup sementara.

Enam orang tidak dapat dihubungi sejak tanah runtuh berlaku di wilayah Guizhou, menjejaskan tiga buah kampung kelmarin, kata pihak berkuasa.

Kira-kira 156 orang telah dipindahkan manakala enam lagi yang terperangkap telah diselamatkan selepas insiden.

Gambar-gambar di tempat kejadian menunjukkan pekerja penyelamat berpakaian uniform jingga mencari dalam lumpur dan tanah di rantau pergunungan bandar Tongren, di mana infrastruktur telah bertindan-tindih.

Pihak berkuasa berkata 19 buah rumah terkubur manakala 60 yang lain musnah.

Gambar bertarikh 8 Julai menunjukkan penyelamat mencari mangsa hilang atau maut akibat tanah runtuh di Huangmei, bandar Huanggang, wilayah Hubei tengah China. – AFP

Rakaman dari udara menunjukkan kawasan yang dipenuhi kehijauan telah bertukar menjadi lumpur.

Kira-kira 120 orang telah terkorban atau hilang tahun ini di China akibat bencana banjir setakat 3 Julai, lapor People’s Daily milik kerajaan, menambah kerugian ekonomi langsung berjumlah sekitar 41.6 bilion yuan (AS$5.9 bilion).

Beberapa bahagian China telah dilanda hujan lebat berterusan sejak Jun, dengan kemusnahan menambah tekanan kepada ekonomi domestik yang sudah pun terjejas pandemik koronavirus.

Tanah runtuh awal kelmarin di tengah wilayah Hubei telah menguburkan lima buah rumah dan sembilan penduduk.

Lapan daripadanya disahkan meninggal dunia, kata penyiaran kerajaan CCTV hari ini.

Beberapa kawasan berpemandangan indah terpaksa ditutup sementara atas sebab keselamatan, dengan Gunung Sanqing ditutup kepada para pelancong akibat hujan lebat dan risiko tanah runtuh serta bencana lain di kawasan tersebut. – AFP