KARACHI, 25 JULAI – Darurat cuaca telah diumumkan di Karachi hari ini ketika hujan monsun lebat berbanding biasanya terus membadai bandar terbesar Pakistan, membanjiri rumah dan menyebabkan jalan-jalan raya tidak dapat dilalui.
Monsun itu yang biasanya berlaku pada Jun hingga September, adalah penting bagi tanaman dan tasik-tasik serta empangan di seluruh sub benua India, namun ia juga membawa gelombang kemusnahan setiap tahun.
Pakistan berada di rangking kelapan dalam senarai negara paling mudah terdedah pada cuaca ekstrem yang disebabkan oleh perubahan iklim, menurut NGO Germwatch.
Kerajaan wilayah Sindh mengumumkan cuti awam hari ini di Karachi dan Hyderabad dalam usaha untuk menangani huru-hara banjir, namun kawasan rendah – sudah pun ditenggelami oleh berminggu-minggu hujan lebat – yang tidak lama lagi akan menjadi latar kemusnahan. “Lebih banyak hujan turun diramal berlaku di Karachi hingga esok,” kata Sardar Sarfraz, pengarah pejabat meteorologi.
Pihak berkuasa Pengurusan Bencana Negara berkata kira-kira 312 orang meninggal dunia sejak Jun akibat hujan monsun. – AFP