Saturday, April 20, 2024
24.4 C
Brunei

    -

    Hujan, petir sehingga hujung minggu

    Oleh Sim Y. H.

    BANDAR SERI BEGAWAN, 20 JUN – Keadaan cuaca tidak menentu diramalkan berterusan sehingga hujung minggu dengan hujan atau hujan berpetir berlaku sekali-skala, terutamanya pada waktu malam hingga awal pagi.

    Hujan atau hujan berpetir dijangka sekali-skala lebat dan berangin dengan kelajuan angin boleh meningkat sehingga 40kmsj serta keadaan laut pada amnya berombak di paras sedikit, di bawah 0.6 m.

    Ramalan keadaan cuaca berkenaan dikongsikan oleh Jabatan Kajicuaca Brunei Darussalam (BDMD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi, dalam kenyataan yang dikeluarkan, di sini, hari ini.

    Terdahulu dalam kenyataan itu, BDMD menyatakan Negara Brunei Darussalam sekarang berada dalam monsun barat daya, di mana luruan angin barat daya dijangkakan menjadi lebih dominan dan keadaan atmosfera pada kebiasaannya adalah agak stabil.

    Walau bagaimanapun, keadaan cuaca adalah aktif untuk beberapa hari kebelakangan ini disebabkan pengaruh fenomena La Nina di kawasan rantau ini yang menyebabkan perubahan aliran angin menjadi bertiup dari beberapa arah serta keadaan atmosfera lembap yang telah menyebabkan pembentukan awan-awan hujan yang aktif.

    Jabatan itu turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah-langkah awal akan kejadian cuaca aktif yang diramalkan berlaku.

    Terdapat risiko berlakunya banjir kilat terutamanya di kawasan-kawasan rendah dan mudah banjir serta di kawasan berdekatan tebing sungai semasa hujan lebat yang berlanjutan lebih sejam dan semasa kejadian air pasang. Kejadian tanah susur dan pokok tumbang juga boleh berlaku semasa hujan lebat dan keadaan berangin.

    Di samping itu, orang ramai termasuk para pemandu di jalan raya dan juga para pelaut dinasihatkan supaya sentiasa peka dengan ramalan, nasihat dan amaran cuaca terkini yang dikeluarkan oleh BDMD dan membuat perancangan yang bersesuaian untuk keselamatan semua.

    Jabatan itu akan terus memantau keadaan cuaca dari semasa ke semasa dan akan mengeluarkan nasihat dan amaran cuaca jika perlu.

    Maklumat, nasihat dan amaran cuaca terkini boleh diterima dengan lebih mudah melalui aplikasi bimbit BDMD iaitu Brunei WX.

    Selain itu, maklumat cuaca terkini juga boleh diperoleh dengan menghubungi peramal cuaca yang bertugas di Pusat Ramalan Cuaca melalui Talian Cuaca 114, atau melayari laman sesawang www.met.gov.bn atau melalui laman Facebook dan Instagram (@bruneiweather).

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...