Hujan ribut, petir ragut 13 nyawa di Bangladesh

DHAKA, 1 April – Tiga belas orang maut manakala berpuluh-puluh lagi cedera apabila ribut tropika membadai bahagian yang berlainan di Bangladesh, termasuk ibu negara Dhaka, pada Ahad malam, lapor agensi berita Turki Anadolu memetik media tempatan.

Ribut itu disertai angin kencang dan petir yang mampu menumbangkan pokok, menenggelamkan bot, menerbangkan batu-bata bangunan serta meruntuhkan tembok, lapor media tempatan memetik kenyataan polis dan Pejabat Meteorologi.

Daripada jumlah mangsa yang maut, enam terbunuh di Dhaka, termasuk seorang wanita dan anak lelakinya berusia lima tahun yang lemas apabila sebuah bot karam di Sungai Buriganga ketika hujan ribut itu berlaku.

Dua lagi terbunuh apabila batu-bata sebuah bangunan yang sedang dibina diterbangkan angin kencang dan terkena mereka.

Seorang wanita berusia 45 tahun pula maut apabila sebatang pokok tumbang dan menimpanya manakala seorang penarik beca meninggal dunia selepas dihempap tembok yang runtuh.

Pihak berkuasa terpaksa menutup laluan sungai dan menangguhkan operasi penerbangan di lapangan terbang antarabangsa Dhaka selama kira-kira dua jam, lapor akhbar New Age.

Selain itu, empat orang termasuk dua beradik remaja perempuan telah maut selepas dipanah petir pada Ahad, menurut laporan tersebut.

Menurut sumber Hospital dan Kolej Perubatan Dhaka, sekurang-kurangnya 18 orang yang mengalami kecederaan ringan selepas ribut telah datang ke hospital itu.

Negara Asia Selatan itu, yang memiliki beratus-ratus sungai, amat cenderung dilanda ribut bermusim pada bulan April dan Mei. – Bernama