HONG KONG, 8 SEPT – Hong Kong dilanda hujan paling lebat dalam hampir 140 tahun hari ini, mengakibatkan jalan raya di bandar dan beberapa stesen kereta bawah tanah ditenggelami air dan memaksa sekolah-sekolah ditutup.
Di seberang sempadan, pihak berkuasa di Pusat Teknologi China, Shenzhen mencatatkan hujan paling lebat sejak mula direkodkan pada tahun 1952.
Perubahan iklim telah meningkatkan intensiti ribut tropika, menurut pakar, dengan lebih banyak hujan dan angin kencang menyebabkan banjir kilat dan kerosakan pantai.
Hujan lebat di Hong Kong bermula kelmarin dan menjelang tengah malam, balai cerap cuaca bandar itu mencatatkan jumlah hujan sebanyak 158.1 milimeter setiap jam di ibu pejabatnya, yang tertinggi sejak rekod bermula pada tahun 1884.
“Ia benar-benar mengejutkan,” kata Jacky, 52, yang tinggal di Daerah Wong Tai Sin bersama ibu bapanya yang sudah tua. “Saya tidak ingat banjir pernah menjadi seburuk ini di daerah kami.
“Aras bawah pusat membeli-belah tenggelam sepenuhnya, paras air lebih tinggi daripada kedai-kedai… ia menjadikan hari kami huru-hara,” tambahnya. – AFP
