Hukum menarik balik pemberian (hibah)

(Dengan nama Allah, Segala puji bagi Allah, Selawat dan salam ke atas Rasulullah SAW, keluarga, sahabat dan para pengikut Baginda)

Disediakan oleh Jabatan Mufti Kerajaan

Pemberian dalam istilah ilmu feqh disebut sebagai hibah. Hibah bermaksud penyerahan milik terhadap sesuatu benda secara sukarela tanpa sebarang imbalan. Ia berlaku semasa si pemberi masih hidup.

Hibah, hadiah dan sedekah mempunyai makna yang hampir sama. Cuma hadiah dan sedekah mempunyai makna yang khusus dan hibah pula mempunyai makna yang umum. Oleh itu, hadiah dan sedekah termasuk dalam kategori hibah.

Menurut ijmak ulama bahawa hibah itu hukumnya sunat. Ia disyariatkan dalam Islam berdasarkan kepada firman Allah SWT yang tafsirnya:

“Dan tolong menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketakwaan.” (Surah al-Maidah: 2)

Hibah itu merupakan satu kebajikan kerana ia menimbulkan rasa kasih dan sayang, sebagaimana hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

“Saling beri memberilah kamu nescaya kamu akan saling kasih mengasihi.” (Hadis riwayat al-Bukhari dalam kitab al-Adab al-Mufrad)

Hibah mempunyai makna yang mutlak sama ada sesuatu pemberian itu boleh dipindah atau sebaliknya seperti sebidang tanah. – Gambar hiasan

Perbezaan antara hibah dengan sedekah dan hadiah

Jika penyerahan milik itu dikaitkan dengan suatu pemberian yang dibawa ke tempat orang yang diberi sebagai penghormatan atau memuliakannya maka ia dinamakan hadiah. Jika pemberian itu pula dikaitkan dengan tujuan untuk mengharap balasan pahala dan mendekatkan diri kepada Allah SWT maka ia dinamakan sebagai sedekah sunat.

Hadiah adalah khusus bagi sesuatu pemberian yang boleh dipindah atau dibawa. Oleh itu, sesuatu pemberian yang tidak boleh dipindah atau dibawa seperti sebidang tanah adalah ia tidak dinamakan sebagai hadiah. Adapun hibah pula mempunyai makna yang mutlak sama ada sesuatu pemberian itu boleh dipindah atau sebaliknya.

Mengenai dengan sedekah, hibah dan hadiah ini, Nabi SAW serta kerabat Baginda r.a. tidak boleh (haram) menerima sedekah, akan tetapi harus bagi Baginda serta kerabat Baginda menerima hibah dan hadiah.

Disyaratkan dalam urusan pemilikan dengan cara hibah itu ijab dan qabul akan tetapi dalam urusan pemilikan dengan cara hadiah dan sedekah tidak disyaratkan ijab dan qabul.

Bila sesuatu hibah menjadi milik orang yang diberi?

Seseorang yang diberi sesuatu hibah akan memiliki sepenuhnya apabila sempurna akad hibah serta sempurna penerimaan (al-qabdh) sesuatu hibah itu.

Sesuatu hibah tidak akan menjadi milik kepada orang yang diberi selagi dia belum menerima sesuatu hibah dengan izin pemberi walaupun telah melakukan akad hibah.

Oleh yang demikian, penerimaan (al-qabdh) sesuatu hibah itu adalah menjadi syarat dalam memiliki sesuatu hibah dan penerimaannya juga adalah dengan keizinan pemberi.

Hukum menarik balik hibah

Hukum menarik balik hibah adalah tertakluk kepada tiga keadaan berikut:

Sebelum orang yang diberi menerima hibah

Sekiranya orang yang diberi sesuatu hibah itu belum menerimanya, harus bagi pemberi menarik balik hibahnya.

Ini kerana sesuatu hibah itu masih milik kepada pemberi. Sebagaimana yang dijelaskan sebelum ini, bahawa orang yang diberi hibah belum dikira memiliki sesuatu hibah itu selagi dia belum menerimanya.

Setelah orang yang diberi menerima hibah

Sekiranya orang yang diberi sesuatu hibah itu sudah menerimanya dengan keizinan pemberi, maka si pemberi tidak boleh lagi menarik balik hibahnya.

Orang yang menarik balik pemberiannya diumpamakan sebagai orang yang memakan semula muntahnya. Perkara ini dijelaskan dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a., Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

“Orang yang menarik balik hibahnya seumpama orang yang menarik balik (memakan) muntahnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Abbas r.a., Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

“Perumpamaan orang yang menarik balik sedekahnya adalah seperti seekor anjing yang muntah kemudian ia kembali semula kepada muntahnya lalu memakannya.” (Hadis riwayat Muslim)

Menurut Imam an-Nawawi Rahimahullah, zhahir hadis ini menunjukkan bahawa haram menarik balik hibah dan sedekah selepas kedua-duanya diterima. Ia haram ditarik balik sekiranya hibah itu diberikan kepada orang lain selain daripada anaknya sendiri dan juga cucu-cicitnya.

Penerima hibah adalah anak si pemberi

Bapa boleh menarik balik sesuatu hibah yang diberikannya kepada anaknya sama ada selepas anak itu menerima sesuatu hibah tersebut ataupun sebelumnya dan sama ada anak itu terdiri daripada orang kaya ataupun miskin, masih kanak-kanak ataupun dewasa. Sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Ibnu ‘Umar dan Ibnu ‘Abbas r.a., Nabi SAW bersabda yang maksudnya:

“Tidak harus bagi seseorang yang memberi sesuatu pemberian kemudian menariknya balik, melainkan seorang bapa yang memberi kepada anaknya, dan perumpamaan orang yang memberi sesuatu pemberian kemudian menariknya balik adalah seperti seekor anjing yang makan sehingga apabila kenyang ia muntah, kemudian ia kembali semula (memakan) muntahnya itu.” (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Keharusan bapa menarik balik sesuatu hibah yang diberikannya kepada anaknya itu, jika sekiranya dia menariknya balik kerana terdapat hajat atau maslahat. Namun makruh baginya menarik balik pemberian tersebut melainkan kerana keuzuran seperti bapa memberi sesuatu hibah kepada anaknya yang derhaka, kemudian dia memberi peringatan kepada anaknya untuk menarik balik pemberiannya itu kalau anaknya masih derhaka. Jika anaknya masih juga derhaka, maka tidak makruh bagi bapanya menarik balik pemberian tersebut.

Selain bapa, menarik balik sesuatu hibah juga diharuskan bagi ibu hingga ke atas, sama ada datuk atau nenek sebelah bapa ataupun ibu dan sama ada berbeza agama ataupun tidak. Sementara penerima pula, selain terdiri daripada anak, ia termasuk juga penerima yang terdiri daripada cucu-cicit pemberi sehinggalah ke bawah.

Walau bagaimanapun, keharusan bapa menarik balik sesuatu hibah yang diberikannya kepada anaknya itu adalah tertakluk kepada tiga syarat seperti berikut:

Hendaklah penerima hibah itu seorang yang merdeka (bukan hamba)

Bapa tidak boleh menarik balik sesuatu hibah yang diberikannya kepada anaknya, jika anaknya itu seorang hamba. Ini kerana pemberian sesuatu hibah kepada seorang hamba itu adalah pemberian kepada tuannya.

Hendaklah sesuatu hibah yang diberi itu masih di bawah kuasa penerima

Bapa tidak boleh menarik balik sesuatu hibah yang diberikannya kepada anaknya jika sesuatu hibah itu tidak lagi di bawah kuasa anaknya seperti anak itu jatuh muflis dan ditegah ke atasnya menguruskan harta.

Demikian juga, sekiranya anak itu mewakafkan atau menjual sesuatu hibah kepada orang lain, maka bapa tidak lagi boleh menarik balik pemberiannya itu. Ini kerana sesuatu hibah yang diberikannya itu tidak lagi menjadi milik anaknya.

Hendaklah sesuatu hibah itu bukan hutang

Sekiranya anak berhutang sesuatu kepada bapanya, kemudian bapa melepaskan hutang anaknya itu sebagai hibah, maka bapa tidak lagi boleh menarik balik hibah yang diberikannya itu.

Lafaz menarik balik sesuatu hibah

Menarik balik sesuatu hibah berlaku dengan melafazkan seperti pemberi berkata kepada penerima: “Saya tarik balik kereta yang saya berikan kepada awak.”

Ia juga berlaku dengan cara kinayah (sindiran) dengan niat menarik balik sesuatu hibah tersebut dan bukan dengan niat seperti menjualnya.

Demikianlah dihuraikan beberapa perkara mengenai hukum menarik balik hibah sama ada pemberi yang terdiri daripada bapa, ibu dan nenek ataupun pemberi yang terdiri daripada orang lain.