Hukuman bagi penyebar berita palsu vaksin

BANGKOK, 19 JAN – Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha hari ini memberi amaran kerajaannya akan menghukum sesiapa sahaja yang mengongsi maklumat palsu mengenai vaksin koronavirus dalam media sosial atau media massa.

Kerajaan sudah pun menguatkuasakan hukuman di bawah perintah darurat yang diisytiharkan Mac lalu untuk menangani ancaman kesihatan.

Amaran Prayuth adalah reaksi jelas terhadap dakwaan bahawa kerajaannya tidak berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan bekalan vaksin mencukupi. Kritikan menjadi isu politik selepas seorang ahli politik membuat dakwaan seumpamanya dalam satu siaran langsung internet pada malam kelmarin.

Bekas ketua parti yang bubar, Future Forward, Thanathorn Juangroongruangkit menuduh kerajaan bertindak lembap untuk menginokulasi penduduk negara itu. Thanathorn sudah lama menjadi duri dalam daging kerajaan Prayut. Partinya mempamerkan prestasi ketiga kuat dalam pilihan raya umum 2019, namun dia dipaksa keluar parlimen selepas sebuah mahkamah memutuskan dia melanggar undang-undang pilihan raya. Partinya kemudian dibubarkan atas alasan sama.

Terdapat juga tuduhan bahawa sebuah syarikat, bakal meraih keuntungan tidak adil daripada kontrak kerajaan untuk mengeluarkan vaksin, dakwaan yang dinafikan kerajaan dan syarikat terbabit. – AP

Seorang pekerja menyembur disenfaktan sebagai langkah berwaspada terhadap koronavirus di pasar Klong Toey, di Bangkok. Perdana Menteri Thailand hari ini memberi amaran bahawa mereka yang menyebarkan berita palsu vaksin akan dihukum. –AP