Hukuman berat perlu terhadap pelaku hina bendera, jata negara

SEREMBAN, 18 OGOS – Hukuman lebih berat perlu diambil terhadap pelaku yang sengaja memasang Jalur Gemilang secara terbalik dan perbuatan menghina Jata Negara, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Mengambil contoh negara jiran Thailand yang mengenakan hukuman berat terhadap mereka yang menghina negara termasuk raja, beliau berkata tindakan tegas seperti itu akan memberikan pengajaran kepada semua pihak.

“Kita harap mereka ini (yang memasang Jalur Gemilang terbalik dan menghina Jata Negara) perlu ditangkap dan diambil tindakan lebih berat …tindakan tegas perlu diambil,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program [email protected] dan Ziarah Kasih Merdeka di sini, hari ini.

Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Datuk Seri Mohamad Hasan dan Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sembilan Shahnon Mohamad.

Beliau berkata hukuman berat itu akan mampu memberi pengajaran kepada masyarakat untuk tidak mewujudkan keadaan tidak harmoni seper-ti menghina Jalur Gemilang dan Jata Negara apabila mereka berasa tidak puas akan sesuatu.

Zahidi turut menegaskan kementerian akan terus melipatgandakan usaha untuk memberi pemahaman kepada masyarakat tentang perlunya mereka menyayangi dan menghormati lambang negara. – Bernama

Seorang kanak-kanak yang lengkap berbaju Melayu dilihat ceria ketika mengibarkan Jalur Gemilang sempena Program Konvoi Kembara Ziarah Kasih Merdeka di Dewan Eco Park Kuala Sawah, Rantau, Seremban, kelmarin. – Bernama