Hukuman berat sesuai

KOTA KINABALU, 7 JULAI – WWF-Malaysia telah menyatakan sokongan penuh hukuman lebih berat terhadap penjenayah hidupan liar di Sabah seperti dalam kes terkini menyaksikan seorang peniaga dalam talian dijatuhi hukuman penjara kerana memiliki 20 biji telur penyu.

Ketua Marin WWF-Malaysia, Monique Sumampouw, dalam kenyataan berkata hukuman itu yang mengikut garis panduan jenayah hidupan liar adalah ideal dalam usaha menangani perdagangan haram dan pemburuan hidupan liar di negeri ini.

“Penyu hijau, sisik (hawksbill) dan lipas (olive ridley) adalah dilindungi di bawah Jadual 1 Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar Negeri 1997. Adalah penting bagi semua pemegang taruh untuk memastikan kelangsungan hidup spesies ini.

“Ditemukan sama ada bersarang, mencari makanan atau berhijrah di sepanjang pantai dan perairan Sabah, penyu marin ini diancam oleh pelbagai ancaman manusia terutamanya pencuri telur dan penyu,” katanya.

Pada 26 Jun, pegawai penguat kuasa Jabatan Hidupan Liar Sabah menahan seorang pemuda tempatan berusia 21 tahun yang aktif memasarkan telur penyu dalam akaun Facebooknya.

Pasukan penguat kuasa menahan lelaki itu berhampiran pasar raya besar di Putatan, di sini dan merampas 20 biji telur penyu hijau daripada lelaki itu.

Pada 4 Julai, lelaki itu dihadapkan ke Mahkamah Sesyen dan dijatuhi hukuman penjara setahun dan didenda RM200,000 atau penjara dua tahun.

Hukuman yang dikenakan itu adalah merujuk kepada garis panduan hukuman yang dibuat oleh badan kehakiman, dengan kerjasama Jabatan Hidupan Liar Sabah dan WWF-Malaysia. – Bernama