Hukuman mati ditangguh, Nagaenthran dijangkiti COVID-19

SINGAPURA, 9 NOV – Rakyat Malaysia, Nagaenthran K. Dharmalingam, 33, yang sepatutnya menjalani hukuman mati pada Rabu (10 Nov) atas sabitan mengedar dadah, mendapat perintah penangguhan sementara  selepas mahkamah dimaklumkan beliau positif COVID-19.

Berikutan itu, Nagaenthran yang berasal dari Perak telah diberikan lanjutan tambahan pelaksanaan hukuman oleh Mahkamah Rayuan.

Nagaenthran, sebelum ini hadir di mahkamah untuk mengemukakan rayuan terakhir terhadap hukuman mati yang dikenakan terhadapnya 11 tahun lepas.

“Mahkamah Rayuan telah memerintahkan penangguhan hukuman. Saya memfailkan permohonan lain pada saat-saat akhir,” kata peguamnya M Ravi dalam hantaran terkininya di Facebook hari ini.

Sebaik prosiding bermula, mahkamah dimaklumkan bahawa Nagaenthran dijangkiti COVID-19, katanya. – Bernama

Gambar Nagaenthran K. Dharmalingan dibawa aktivis di kedutaan Singapura, Kuala Lumpur kelmarin. – AFP