Tuesday, October 4, 2022
24.3 C
Brunei

Hukuman pemimpin terakhir rejim Khmer Rouge dikekalkan

-

PHNOM PENH, 22 SEPT – Mahkamah jenayah perang Khmer Rouge yang disokong Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Kemboja hari ini mengekalkan sabitan pembunuhan beramai-ramai dan hukuman penjara seumur hidup dikenakan ke atas pemimpin terakhir rejim itu yang masih hidup.

Keputusan dibuat oleh tribunal itu selepas rayuan oleh ketua rejim Khmer Rouge, Khieu Samphan yang menghapuskan satu perempat daripada penduduk Kemboja dalam tempoh empat tahun pada 1970an, ditolak sepenuhnya.

Ia merupakan keputusan terakhir dikeluarkan tribunal yang dilaksanakan ke atas hanya lima orang pemimpin Khmer Rouge, dua daripadanya meninggal dunia semasa prosiding. Tribunal itu menelan belanja lebih AS$330 juta bagi prosiding tersebut.

“Dewan Mahkamah Agung mendapati tiada merit dalam hujah Khieu Samphan mengenai pembunuhan beramai-ramai dan menolaknya,” kata Ketua Hakim, Kong Srim dalam keputusan yang panjang lebar.

Mahkamah juga mengekalkan sabitan 2018 terhadap lelaki berusia 91 tahun itu atas pelbagai jenayah terhadap kemanusiaan termasuk pembunuhan, penyeksaan dan perhambaan walaupun dia tidak mengambil bahagian secara peribadi dalam semua jenayah.

Kira-kira 500 orang berkumpul di dalam bilik mahkamah untuk mendengar keputusan itu, termasuk mangsa Khmer Rouge yang terselamat, sami Buddha, diplomat dan pegawai kerajaan.

Lim Ching yang kehilangan lebih 20 sanak saudara termasuk ibunya, memberitahu AFP, ‘hukuman itu adalah tepat – rejim Pol Pot melakukan kekejaman dan membunuh orang,’ katanya.

Mahkamah hibrid dihakimi oleh kedua-dua hakim dari Kemboja dan anta-rabangsa, ditubuhkan untuk membicarakan pemimpin kanan rejim genosid itu yang menghapuskan kira-kira 2 juta semasa pemerintahannya pada 1975-1979.

Ketua rejim, Pol Pot dikenali juga sebagai Brother Number One, tidak pernah dihadapkan ke mahkamah, meninggal dunia pada 1998 sebelum mahkamah itu ditubuhkan. – AFP

Ketua rejim Khmer Rouge, Khieu Samphan semasa menghadiri perbicaraan terakhir di Mahkamah Khmer Rouge di Phnom Penh. – AP
- Advertisment -

Disyorkan Untuk Anda

PBB: 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan

ISLAMABAD, 3 OKT – Agensi kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran kira-kira 5.7 juta mangsa banjir Pakistan berdepan krisis makanan serius dalam masa...
- Advertisment -