Hukuman penjara berat diperlukan

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 JAN – Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong telah menolak rayuan seorang pegawai kastam yang terlibat dalam kegiatan rasuah sekali gus mengekalkan hukuman penjaranya selama tiga tahun dengan denda $4,912.

Ketua Hakim Negara berkata demi kepentingan umum, rayuan pengurangan hukuman pemohon telah ditolak, malah beliau turut menekankan hukuman penjara yang berat adalah diperlukan bagi mencegah tingkah laku tersebut.

Pemohon telah menyalahgunakan kuasanya sebagai pegawai kastam yang membenarkan penyeludupan alkohol dan rokok ke Negara Brunei Darussalam sebagai balasan atas rasuah yang diterimanya, jelas Ketua Hakim Negara.

“Perilaku jenayah seperti ini yang dilakukan oleh pegawai kastam jika tidak terkawal akan menjadikan seluruh perkhidmatan kastam menjadi terjejas,” tambah Ketua Hakim Negara.

Haji Mohammad Haikal bin Haji Suhaili mengaku bersalah pada 13 Jun 2020 atas 27 pertuduhan menerima rasuah dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun, denda $4,912, atau menjalani hukuman penjara tambahan selama lima bulan jika gagal membayar.

Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Ahmad mewakili pendakwa raya selaku responden.