Hukuman pesalah dadah ditambah setahun

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 18 OGOS – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, telah menukar hukuman dua tahun penjara terhadap seorang pesalah dadah kepada hukuman penjara tiga tahun setelah membenarkan rayuan pendakwa raya.

Salman bin Arshad dijatuhkan hukuman penjara dua tahun oleh Mahkamah Majistret atas dua kesalahan penggunaan dadah yang dilakukannya pada Mac dan September 2017, serta turut mempunyai rekod sabitan sebelumnya dari tahun 1996 kerana mengambil dadah.

Timbalan Pendakwa Raya Pengiran Hajah Nor ‘Azmeena binti Pengiran Haji Mohiddin yang mewakili pendakwa raya, mengemukakan rayuan dengan alasan bahawa majistret diwajibkan menjatuhkan hukuman penjara minimum tiga tahun kepada pesalah yang mempunyai sabitan penggunaan dadah sebelumnya.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong ketika mempertimbangkan permohonan itu antara lain mengatakan bahawa mahkamah tidak berkuasa menjatuhkan hukuman kurang daripada minimum tiga tahun dalam keadaan ini, kecuali dengan adanya keadaan yang luar biasa.

Selang antara sabitan tidak kira berapa lama, dengan sendirinya dapat dianggap sebagai alasan untuk tidak menjatuhkan hukuman minimum yang wajib (dan) tidak ada keadaan luar biasa yang memihak kepada responden untuk membenarkan tidak menjatuhkan (itu), jelas Ketua Hakim Negara semasa mempertimbangkan bagi membenarkan rayuan berkenaan.

Ketua Hakim Negara menekankan, jurang masa antara sabitan tanpa mengira berapa lama tidak boleh, dengan sendirinya, dianggap sebagai dasar untuk tidak mengenakan hukuman minimum mandatori dan tiada keadaan khas yang memihak kepada tertuduh untuk tidak menjatuhkan hukuman itu.