Hukuman pesalah dadah diubah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 SEPT – Mahkamah Tinggi di sini, telah mengubah hukuman yang dijatuhkan terhadap seorang lelaki yang mengaku bersalah di Mahkamah Majistret pada 11 Februari lalu atas empat pertuduhan mengambil dadah dan 10 pertuduhan gagal melaporkan diri semasa berada di bawah program pengawasan Biro Kawalan Narkotik.

Shamsuddin bin Mohammad dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan diperintah untuk membayar denda $5,000, bagaimanapun, dia gagal membayarnya dan diperintahkan untuk menjalani hukuman penjara tambahan selama 20 minggu.

Dia kemudian membuat rayuan kepada Mahkamah Tinggi supaya hukuman penjaranya bermula pada 18 Februari 2019 dan dijalankan serentak dengan hukuman penjara tiga tahun berhubung kesalahan mencuri.

Shamsuddin merayu meminta bagi pertimbangan Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong dan menyatakan bahawa dia perlu menyokong orang tuanya yang sudah tua dan kondisi bapanya setelah mengalami strok.

Timbalan Pendakwa Raya Affyian Abdul Rahman, yang mewakili pendakwa raya sebagai responden, memaklumkan kepada mahkamah bahawa kesalahan pengawasan dilakukan antara 23 Mac dan 25 Mei 2019 ketika dia dipenjara atas kesalahan curi dari 18 Februari 2019.

Ketua Hakim seterusnya mendapati bahawa hukuman penjara tiga tahun yang dijatuhkan adalah berasas kerana Shamsuddin mempunyai rekod sabitan serupa sebelumnya pada 2013.

Namun begitu, mengenai permohonan hukuman tersebut untuk dimulakan dan dijalankan secara serentak dengan hukuman penjara atas kesalahan curi tersebut, Ketua Hakim Negara mengatakan bahawa untuk membenarkannya adalah salah dari segi prinsip kerana kesalahan pencurian dan dadah adalah terpisah, berbeza dan sama sekali tidak berkaitan dengan satu sama lain.

Ketua Hakim Negara seterusnya menyatakan bahawa walau apa pun keadaan keluarga pemohon, keputusan majistret adalah betul dalam memerintahkan hukuman itu berkuat kuasa pada tarikh pengenaan.

Mahkamah kemudian membatalkan sabitan kesalahan dan hukuman atas kesalahan pengawasan dadah, membawa kepada hukuman penjara tiga tahun yang bermula tarikh 11 Februari.