Hukuman rogol dipinda

Oleh Rafidah Jumat

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 28 Julai – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam telah memperkenankan Perintah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017, yang mana pindaan dibuat terhadap kesalahan rogol dan kesalahan luar biasa yang terkandung dalam Kanun Keseksaan, Bab 22.

Perintah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 ini berkuat kuasa 24 Julai 2017.

Di bawah pindaan Seksyen 375, definisi rogol termasuk walaupun seorang wanita bersetuju untuk melakukan persetubuhan dengan seorang lelaki yang diberi kepercayaan atau kuasa terhadap wanita itu atau dengan lelaki yang mana wanita itu mempunyai hubungan ketergantungan.

Pindaan juga menyatakan bahawa mana-mana tertuduh tidak boleh membela dirinya dengan menggunakan ‘persetujuan’ jika persetubuhan dilakukan di bawah keadaan tersebut.

Pada masa ini, hukuman bagi kesalahan rogol di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan adalah penjara untuk tempoh yang boleh dilanjutkan sehingga 30 tahun dan dengan sebatan, dengan hukuman minimum ialah lapan tahun penjara dan 12 sebatan untuk bentuk kesalahan rogol tertentu.

Bagaimanapun, pindaan itu kini memperuntukkan hukuman minimum 10 tahun penjara dan mengekalkan 12 kali sebatan jika pesalah melakukan kesalahan rogol dan sukarela menyebabkan kecederaan kepada wanita atau mana-mana orang lain atau meletakkan wanita itu dalam bahaya atau mencederakan dirinya sendiri atau mana-mana orang lain, atau jika pesalah melakukan rogol terhadap perempuan di bawah umur 14 tahun, atau jika pesalah yang melakukan rogol itu dalam kedudukan diberi kepercayaan atau kuasa terhadap wanita itu atau mana-mana orang lain, atau dengan lelaki yang mana wanita itu mempunyai hubungan ketergantungan.

Hukuman juga ditambah dalam kesalahan rogol melibatkan perempuan di bawah umur 14 tahun, di mana pesalah secara sukarela menyebabkan kecederaan kepada perempuan itu atau mana-mana orang lain, atau meletakkan perempuan itu dalam bahaya atau mencederakan dirinya sendiri atau mana-mana orang lain, atau jika pesalah dalam kedudukan diberi kepercayaan atau kuasa terhadap perempuan itu, atau seseorang yang mana wanita itu mempunyai hubungan ketergantungan.

Dalam kes sedemikian, undang-undang kini memperuntukkan tambahan hukuman penjara untuk tempoh tidak kurang daripada 15 tahun dan sebat tidak kurang daripada 12 sebatan.

Perintah Kanun Keseksaan (Pindaan) 2017 juga mengenakan hukuman minimum bagi pesalah rogol yang mengulangi kesalahannya, yang mana bagi kesalahan kedua atau seterusnya akan dikenakan hukuman tidak kurang daripada 20 tahun dan tidak melebihi daripada 50 tahun penjara, dan tidak kurang daripada 20 sebatan.

Selain itu, hukuman di bawah Seksyen 377 Kanun Keseksaan yang berkaitan dengan kesalahan luar biasa juga telah dipinda, dan mana-mana pesalah yang melakukan kesalahan hubungan seks dengan mana-mana lelaki, wanita atau haiwan akan menerima hukuman penjara untuk tempoh tidak melebihi daripada 30 tahun dan sebatan.

Sebelum ini, hukuman maksimum di bawah seksyen ini ialah penjara yang boleh dilanjutkan sehingga 10 tahun dan dengan denda.

Sama seperti hukuman di bawah kesalahan rogol, kesalahan di bawah seksyen ini juga ditambah kepada penjara tidak kurang daripada 15 tahun dan sebatan tidak kurang daripada 12 sebatan jika kesalahan ini dilakukan terhadap seseorang di bawah umur 14 tahun.

Untuk pesalah yang mengulangi kesalahannya dalam kes luar biasa, undang-undang kini memperuntukkan hukuman minimum 20 tahun dan maksimum 50 tahun penjara dan 20 sebatan.

Pindaan baru Kanun Keseksaan ini digubal atas inisiatif Pejabat Peguam Negara dan Pasukan Polis Diraja Brunei dalam mengukuhkan lagi undang-undang Brunei Darussalam untuk melindungi kanak-kanak, orang muda dan golongan yang mudah terdedah, daripada eksploitasi seksual.

Pindaan ini juga bertindak sebagai pencegahan kepada mereka yang sanggup melakukan kesalahan sedemikian.

Pindaan undang-undang ini juga bertujuan untuk bekerjasama dengan agensi-agensi pihak berkepentingan yang lain untuk memahami dan menangani punca-punca penyebab kesalahan tersebut.

Langkah-langkah ini termasuk menggalakkan mangsa kesalahan seksual untuk membuat laporan segera bagi mengelak penderaan yang berpanjangan, memudahkan mangsa seksual untuk memberi keterangan dalam mahkamah dan memberi kaunseling untuk mengurangkan sebarang trauma atau kesedihan psikologi yang dialami mangsa.

Pindaan ini dibuat selepas melakukan penyelidikan teliti terhadap undang-undang negara-negara jiran seperti Singapura dan Malaysia serta negara-negara bidang kuasa Komanwel.

Penyelidikan ini dijalankan oleh Pasukan Kajian Kesalahan Seksual (SORT) di bawah Bahagian Keadilan Jenayah di Jabatan Peguam Negara yang terdiri daripada pegawai-pegawai yang berpengalaman luas dalam pendakwaan kesalahan seksual di mahkamah negara ini, dan mereka ini juga merupakan sebahagian daripada mandat pasukan yang mengkaji undang-undang berkaitan dengan kesalahan seksual di Brunei Darussalam.