Hukuman sebar gambar tidak senonoh ditambah

Oleh Ak Zaki Kasharan

BANDAR SERI BEGAWAN, 9 SEPT – Mahkamah Tinggi, di sini, hari ini, menambah hukuman penjara daripada lapan bulan kepada setahun lapan bulan terhadap seorang lelaki warga tempatan setelah bersetuju dengan rayuan pihak pendakwa raya.

Abdul Majid bin Haji Bini mengaku bersalah atas dua pertuduhan kerana mempamerkan gambar-gambar lucah bekas kekasihnya, yang mana tertuduh turut mempunyai anak luar nikah dengannya dan satu intimidasi jenayah.

Dalam hujah permohonan, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Fitri Kiprawi mengatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Majistret tidak melihat dengan serius akan kesalahan tersebut.

Ketua Hakim Negara, Dato Seri Paduka Steven Chong bersetuju setelah mengambil kira faktor memburukkan lagi kes tersebut.

Ketua hakim negara menekankan bahawa Abdul Majid tidak mengendahkan amaran tegas daripada polis setelah dia pertama kali menyiarkan gambar eksplisit (mangsa) dalam talian (sebelum laporan dibuat) apabila kembali mengulangi kesalahannya malah lebih teruk yang menyebabkan bahaya kepada mangsa dengan mendedahkan identiti dan tempat kerjanya serta menggambarkannya sebagai seorang pelacur.

Tindakan berdendam Abdul Majid jelas dikira sebagai cara untuk mengaibkan dan merosakkan reputasi (mangsa), jelas ketua hakim negara lagi ketika meluluskan rayuan pendakwa raya.