Hukuman tertuduh dikurangkan

Oleh Rafidah Jumat

BANDAR SERI BEGAWAN, 11 DIS – Mahkamah Rayuan memutuskan untuk mengurangkan hukuman 40 bulan penjara kepada 34 bulan terhadap seorang pesalah yang menggunakan wang palsu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Michael Peter Burrell yang bersidang bersama Hakim Conrad Seagroatt dan Hakim Michael Lunn berpendapat, Rezuian bin Haji Japar berhak diberi pengurangan enam bulan kerana dia telah membantu pihak pendakwa membawa pesalah lain ke muka pengadilan.

Rezuian dalam kejadian pada 17 Mei 2019 memberi sekeping $100 dan empat keping $10 kepada rakannya yang pada masa itu kehabisan minyak kereta.

Di stesen minyak tersebut, rakan pesalah memberi $100 untuk harga $10 minyak kereta namun atendan pam minyak mendapati warna dan tekstur wang tersebut mencurigakan.

Pesalah kemudian memberi $10 dan wang ini juga menimbulkan curiga pada atendan pam minyak itu. Ketika atendan pam minyak menghubungi polis, pesalah dan rakannya terus meninggalkan tempat itu.

Pesalah turut memberi keterangan dalam mahkamah mengenai abangnya, Zulkifli bin Haji Japar yang ketika pertuduhan dibacakan mengaku tidak bersalah atas penglibatannya memiliki wang palsu.

Pada akhir perbicaraan, mahkamah mensabitkan kesalahan terhadap Zulkifli.