‘Hulk antara yang terbaik di Asia’

SHANGHAI, 7 Mac – Hulk mendapat pujian daripada pengurusnya, yang menganggapnya sebagai ‘salah seorang pemain terbaik di Asia’, selepas dia menyudahkan satu penalti lewat bagi memberikan Shanghai SIPG kemenangan 1-0 ke atas Kawasaki Frontale dalam saingan Liga Juara-Juara AFC semalam.

Dalam perlawanan sengit antara juara China dan Jepun itu, penyerang berbadan sasa itu menjadi penentu dengan memberikan pasukan hos tiga mata dalam aksi pembukaan Kumpulan H.

Hulk mampu bertenang untuk menjaringkan gol penalti pada minit ke-89 selepas bola terkena pemain tengah Kawasaki, Hidemasa Morita.

Penyerang berusia 32 tahun itu bergelut untuk menembusi gawang lawan, yang menyaksikannya terlepas peluang dari jarak dekat dan melepaskan percubaan yang tersasar di separuh masa kedua selepas membuat larian menarik ke dalam petak pasukan pelawat.

“Pastinya Hulk adalah salah seorang pemain terbaik di Asia, itu pasti,” kata jurulatih SIPG, Vitor Pereira mengenai kaptennya itu.

Hulk (kiri) cuba mengekang asakan pemain Kawasaki, Kurumaya dalam saingan Liga Juara-Juara AFC kelmarin. SIPG menang tipis 1-0. – AFP

“Saya bernasib baik kerana mempunyai pemain-pemain hebat dalam pasukan saya, membantu pasukan menang, apa yang penting bukan hanya tahap teknikal tetapi personaliti.

“Saya orang yang bernasib baik kerana saya mempunyai pemain-pemain, asing dan China, dengan personaliti, semangat juang, semangat berpasukan dan itulah cara untuk menang,” kata jurulatih dari Portugal itu.

Hulk, ditandatangani oleh SIPG dari Zenit St Petersburg pada Julai 2016 dengan harga kira-kira 56 juta euro, berkata juara China itu, yang juga mempunyai bintang Brazil Oscar, bermain bertahan dalam tempoh yang lama.

“Saya mencuba sedaya upaya untuk berjuang hingga akhir. Bagi saya, saya mahu membantu lebih daripada hanya menjaringkan gol.”

Dalam perlawanan lain Kumpulan H, Sydney FC dan juara 2012, Ulsan seri tanpa jaringan, meletakkan Shanghai kedudukan yang selesa. – AFP