Hulkenberg buat kejutan di Silverstone

SILVERSTONE, 9 OGOS – Nico Hulkenberg memberi kejutan buat dirinya dan pasukannya kelmarin apabila dia melayakkan diri kali ke-3 untuk Ulang Tahun Grand Prix ke-70 dalam perlumbaan keduanya sejak membuat kepulangan dramatik ke Formula Satu.

Hanya sembilan hari setelah dipanggil untuk menggantikan Sergio Perez yang dijangkiti COVID-19 dalam pasukan Racing Point, pasukan kontroversi digelar ‘Mercedes merah jambu’, pemandu Jerman itu mempamerkan aksi terbaik di belakang pasukan Mercedes.

Ia merupakan keputusan kelayakan terbaiknya sejak Grand Prix Austria 2016, ketika dia menduduki tempat kedua bersama Force India bersama Lewis Hamilton di Mercedes. Rakan sepasukannya pada ketika itu ialah Perez.

Ketika ini, Valtteri Bottas menduduki tempat pertama di hadapan pendahulu kejuaraan dan rakan sepasukannya, Hamilton untuk memastikan kedudukan barisan depan ke-67 Mercedes.

“Pusingan kelayakan yang sangat bagus,” kata Hulkenberg, yang mengatakan bahawa dia mendapat panggilan semula ketika dia berada di Cologne minggu lalu.

Hari berikutnya, dia berada di Silverstone dan bersedia untuk menyertai perlumbaan.

Kedudukan permulaan Hulkenberg dalam sebuah kereta yang kompetitif, akan memberikannya peluang untuk mengakhiri salah satu rekod yang paling tidak diingini dalam sukan ini – ketika dia bersiap sedia untuk memenangi podium pertama dalam kariernya. – AFP