BANDAR SERI BEGAWAN, 29 Mei – Sebagai usaha membantu keluarga yang kurang berkemampuan dalam bulan Ramadan ini, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) telah mengadakan inisiatif amal menghulurkan sumbangan keperluan harian kepada beberapa buah keluarga di keempat-empat daerah.
Dengan bantuan Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB) dan ketua-ketua kampung, Perbadanan TAIB telah dapat membantu 31 buah keluarga yang memerlukan dalam tempoh empat hari.
Sepanjang inisiatif itu, kakitangan sukarelawan memandu ke empat-empat daerah dan mengedarkan sumbangan berupa barangan keperluan harian dan wang tunai yang disediakan oleh Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya, Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd (IITHSB) dan Darussalam Holdings Sdn Bhd (DHSB).
Kumpulan berkenaan diketuai oleh Pemangku Pengarah Urusan Perbadanan TAIB, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman.

Turut hadir semasa kempen bagi Daerah Tutong ialah Pengarah Urusan IITHSB, Haji Osman bin Haji Mohd Jair dan Pengarah Urusan DHSB, Haji Mahmud bin Haji Mohamed bagi Daerah Temburong.
Inisiatif berkenaan adalah sebahagian daripada kempen amal tahunan Perbadanan TAIB untuk membantu keluarga-keluarga yang kurang berkemampuan semasa bulan Ramadan dan sebagai usaha berterusannya ke arah menyokong nilai-nilai keprihatinan kepada masyarakat terutamanya yang kurang bernasib baik dan memerlukan bantuan.
Ia juga merupakan kerjasama antara Perbadanan TAIB dan anak-anak syarikatnya yang mana tanggungjawab dibahagikan di keempat-empat daerah.