Hulur sumbangan bantu kerajaan

Oleh Salawati Haji Yahya

BANDAR SERI BEGAWAN, 17 OKT – Alumni Pesara Jabatan Pendidikan Teknik (APJPT) tidak ketinggalan membantu kerajaan terutama Kementerian Kesihatan dalam membendung penularan COVID-19 dengan menghulurkan sumbangan ke pusat pengasingan di Kem Latihan Program Khidmat Bakti Negara (KL PKBN), Temburong, yang diserahkan hari ini.

Hadir menyaksikan pemindahan barangan sumbangan di Gedung Perniagaan Hua Ho, Tanjong Bunut itu ialah ahli-ahli Jawatankuasa Interim APJPT. Sumbangan barang keperluan berkenaan adalah daripada ahli-ahli APJPT.

Pusat pengasingan di KL PKBN pada masa ini menempatkan 390 orang pesakit COVID-19 termasuk kanak-kanak berumur tiga hingga 12 tahun seramai 40 orang dan sembilan orang kanak-kanak di bawah umur dua tahun.

Antara barangan yang disumbangkan termasuk makanan asasi selain biskut untuk kanak-kanak, pampers, barangan mandi dan lain-lain lagi. Sebelum kenderaan yang membawa barangan sumbangan itu bergerak ke KL PKBN, Doa Kesyukuran dibacakan bagi memohon keberkatan dan keselamatan.

Wakli daripada APJPT semasa menyerahkan bantuan ke pusat pengasingan di Kem Latihan PKBN Temburong, kelmarin.