Humberto badai Bermuda

HAMILTON, 19 SEPT – Dua puluh lapan ribu penduduk kepulauan kecil British di Bermuda terpaksa bergelap apabila ribut kategori 3, Taufan Humberto, yang membawa hujan dan angin kencang melanda, hari ini.

Menurut para pegawai, tidak ada kematian dilaporkan tetapi penduduk diminta untuk tinggal di dalam rumah kerana bahaya tiang elektrik dan pokok-pokok yang tumbang.

“Kami telah melalui malam yang sangat mencabar,” The Royal Gazette memetik Menteri Keselamatan Bermuda, Wayne Caines sebagai berkata.

Pusat Hurikan Kebangsaan AS yang berpusat di Miami menyatakan pusat ribut kira-kira 225 kilometer barat Bermuda pada 1800 GMT dengan angin kencang bertiup selaju 195 km sejam.

Ribut besar dijangka melintasi barat laut Bermuda pada waktu siang atau semalaman dengan membawa hujan sebanyak 15 sentimeter padu.

Gambar ihsan Lisa-Jayne Metschnabel menunjukkan hujan mula turun ketika Humberto melanda Hamilton di Bermuda, kelmarin. – AFP

Hujan lebat telah melanda pulau utama dengan penduduk tempatan menyelamatkan harta benda dan ada yang mengukuhkan lagi tingkap rumah mereka. Kedai-kedai runcit dan pejabat ditutup lebih awal.

Kerajaan menasihatkan penduduk setempat agar tidak keluar rumah pada pukul 5 petang sehingga keadaan disahkan selamat.

Tempat perlindungan kecemasan di Akademi Cedarbridge telah dibuka tetapi para pegawai berkata mereka tidak menjangkakan yang paling teruk.

“Kami tidak menjangkakan kerosakan besar. Mungkin ada beberapa kawasan yang lebih terjejas berbanding yang lain,” kata penyelaras bencana di Bermuda, Steve Cosham menurut The Royal Gazette.

Musim badai Atlantik yang berlangsung hingga 30 November telah meningkat dalam beberapa minggu kebelakangan ini. Badai Dorian membadai Bahamas, membunuh sekurang-kurangnya 52 orang dengan ratusan lagi masih hilang.

Ribut Tropika Jerry telah terbentuk di lautan dan dijangka menjadi badai hari ini. Setakat ini, ia belum membadai mana-mana kawasan pantai. – AFP