PHNOM PENH, 20 OKT – Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen hari ini berkata beliau akan “mengasingkan dan mengakhiri” tokoh pembangkang dalam buangan Sam Rainsy (gambar fail AFP), ketika orang kuat itu terus mengekang pencabar-pencabar politik menjelang pilihan raya tahun depan.
Hun Sen, yang telah memerintah negara itu selama 37 tahun, akan bertanding lagi dan telah menyokong anak lelakinya, Hun Manet untuk menggantikannya.
Meningkatkan retorik terhadap musuh lamanya itu, Hun Sen memberitahu pemberita hari ini bahawa beliau akan “menghapuskan ideologi pelampau pengkhianat tiga generasi” Rainsy untuk memelihara keamanan negara.
Hun Sen juga berkata beliau akan “mengasingkan dan mengakhiri” pembangkang berusia 73 tahun itu, yang pada Ahad telah menyeru rakyat dan tentera Kemboja untuk membebaskan negara itu daripada keluarga pemerintah tersebut.
Komen-komennya itu dibuat sehari selepas sebuah mahkamah Kemboja menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap Rainsy, yang berlindung di Perancis di mana dia mempunyai kerakyatan, kerana dipercayai cuba menyerahkan wilayah kepada entiti asing. – AFP