Friday, April 19, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Hungary beri kejutan tundukkan Three Lions

    BUDAPEST, 5 JUN – Pengurus England, Gareth Southgate mengatakan bahawa kekalahan pasukannya itu adalah berpunca daripada keletihan selepas melalui musim yang panjang ketika pasukan Three Lions mengalami kekalahan pertama menentang Hungary dalam 60 tahun dengan keputusan 1-0 di Budapest, kelmarin.

    Pada perlawanan tersebut, Dominik Szoboszlai berjaya menjaringkan gol tunggal perlawanan melalui sepakan penalti dan meraikan kemenangan pertama ke atas England sejak 1962.

    Kekalahan dalam penentuan penalti kepada Itali di Euro 2020 merupakan satu-satunya kekalahan pasukannya dalam 22 perlawanan terdahulu.

    Walau bagaimanapun, skuad percubaan yang diturunkan gagal memberi ancaman kepada pasukan tuan rumah, dengan sorakan sokongan daripada 30,000 penonton yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak sekolah.

    Terdahulu, Hungary terpaksa bermain tanpa kehadiran penyokong disebabkan oleh tingkah laku peminat semasa perlawanan mereka di Euro 2020.

    Aksi Declan Rice (kanan) dan Dominik Szoboszlai dalam perebutan mendapatkan bola semasa perlawanan Liga Negara-negara UEFA antara Hungary dan England di Arena Puskas, Budapest, Hungary. – AFP

    Selain itu, pihak UEFA telah membuat garis panduan bahawa kanak-kanak di bawah umur 14 tahun akan diberikan tiket kemasukan secara percuma dan Persekutuan Bola sepak Hungary menggunakan kelebihan tersebut.

    Southgate memberikan penampilan sulung bersama pasukan senior kepada Jarrod Bowen dan James Justin, namun pasukannya itu tidak memberi sebarang impak pada perlawanan berkenaan.

    Hungary mencipta peluang yang lebih baik ketika Szoboszlai menyaksikan percubaan berjaya dihalang oleh Conor Coady dan rembatan Adam Szalai tersasar selepas dia melihat penjaga gol, Jordan Pickford keluar dari kawasan gawang.

    Walau bagaimanapun, pasukan tuan rumah telah dihadiahkan dengan sepakan penalti pada minit ke-64 apabila Reece James didapati melakukan kekasaran ke atas Zsolt Nagy selepas pemain bek kiri Hungary tersebut menerima hantaran bola di kawasan petak penalti.

    Harry Kane hampir menyamakan kedudukan pada masa kecederaan tetapi gagal mendapatkan gol ke-50nya selepas rembatannya tersasar. – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Mahkamah batalkan sabitan bekas Presiden Maldives Abdulla Yameen

    NEW DELHI, 19 APRIL - Mahkamah di Maldives membatalkan sabitan bekas Presiden Abdulla Yameen atas tuduhan rasuah, kelmarin. Panel tiga hakim Mahkamah Tinggi memutuskan bahawa...