Hungary ujian berat England – Southgate

LONDON, 2 SEPT – Pengurus England, Gareth Southgate percaya berdepan Hungary di hadapan 60,000 penonton di Budapest esok akan menjadi ujian besar sama ada skuad Three Lion sudah pulih daripada kecewa kekalahan mereka pada final Euro 2020.

Skuad kendalian Southgate terlepas peluang mencatat kemenangan pertama England di kejohanan utama dalam tempoh 55 tahun dalam penentuan penalti ke atas Itali pada Julai lalu.

Ia kembali dalam saingan buat pertama kali minggu ini dengan kunjungan ke Budapest diikuti pertembungan berdepan Andorra dan Poland dalam saingan kelayakan Piala Dunia.

“Pasukan ini memperoleh keyakinan daripada apa yang mereka capai dan peningkatan yang ditunjukkan mereka, tidak hanya pada musim panas ini tetapi sejak empat tahun lalu,” kata Southgate, yang turut memimpin England ke separuh akhir Piala Dunia pada 2018.

“Secara adil kami harus bermula semula sekali lagi. Perjalanan untuk mempunyai peluang seperti kejohanan itu berada di landasan terbaik. Kami berada pada tahap terbaik.

“Dari segi mental ia adalah ujian yang bagus untuk kami. Jauh dari tanah air, 60,000 peminat dan kami berdepan pasukan yang sangat bagus.”

England berada di landasan terbaik untuk menempa tempat ke Qatar selepas memenangi tiga perlawanan pembukaan kelayakan mereka pada Mac lalu.

Kemenangan di Hungary dan Poland akan membantu England untuk terus layak, tetapi Southgate berhati-hati dengan pasukan Hungary yang berjaya mengikat Perancis dan Jerman di perlawanan Euro sebelum ini.

“Saya rasa dua perlawanan minggu ini akan sangat mencabar,” tambahnya.
“Mereka pasukan yang bagus. Mereka jelas perlawanan penting bagi kelayakan.” – AFP

Reaksi Gareth Southgate semasa perlawanan Euro 2020. Southgate percaya perlawanan menentang Hungary di Budapest akan menjadi ujian besar buat England. – AP