Selepas menerima berita gembira pengacara Neelofa menimang cahaya mata, penyanyi dan bekas penyampai radio, Hunny Madu juga memaklumkan dia selamat melahirkan anak ketiga pada 22 Januari lalu.
Hunny atau nama sebenarnya Hani Farhana Mohd Hatim, 38, berkata, dia melahirkan cahaya mata perempuan itu secara pembedahan di sebuah pusat perubatan.
“Alhamdulillah, saya selamat melahirkan anak secara pembedahan selepas doktor maklumkan tidak boleh secara normal. “Saya dah rasa pengalaman ini ketika melahirkan anak pertama, jadi tidak ada sebarang masalah,” ujarnya kepada mStar.
Untuk rekod, ini merupakan anak pertama hasil perkahwinan keduanya dengan Fedrighi Francesco.
Mereka mendirikan rumah tangga pada 2 Mei 2020.

Hunny pernah berkahwin dengan Khairul Azhar Abdul Wahid pada 2010 namun bercerai pada Oktober 2018.
Mereka dikurniakan sepasang cahaya mata iaitu Eva Medina, 10, dan Adam Musa, 5. Sementara itu, Hunny berkata, suaminya agak kekok dalam urusan menjaga anak damit berikutan ini anak pertamanya.
Katanya, suaminya banyak bertanya dan takut untuk memandikan anak damit tersebut. “Suami saya banyak bertanya soalan dan pada awalnya dia sendiri takut untuk mandikan anak damit.
“Mujurlah saya ada pengalaman sebelum ini. Kalau dua-dua tiada pengalaman memang susah jadinya.
“Dalam tempoh seminggu ini memang kami ambil masa untuk faham keperluan anak kecil dan apa yang sepatutnya dilakukan,” katanya.
Sementara itu, kelahiran anak kecil yang diberi nama Mia Celine itu turut disambut gembira oleh dua anaknya yang lain.
“Anak pertama saya sudah berusia 10 tahun, dia sangat gembira menerima kehadiran adik baharu,” katanya. – Agensi