Hurikan Pamela landa Mexico, penduduk dalam kegelapan

BANDARAYA MEXICO, 14 OKT – Hurikan Pamela mendarat di Mexico menyebabkan bangunan rosak dan hampir 200,000 isi rumah di beberapa buah negeri mengalami gangguan bekalan elektrik, lapor Sputnik.

Menurut Suruhanjaya Elektrik Persekutuan (CFE) Mexico pada hari ini, anggota penyelamat dan juruteknik sedang berusaha memulihkan bekalan elektrik di negeri terjejas iaitu Sinaloa, Nayarit, Durango, dan Coahuila.

“Sejumlah 195,990 pengguna terjejas dan setakat ini sebanyak 50 peratus bekalan elektrik telah dapat dipulihkan,” menurut CFE. Pamela mula melanda Sinaloa kelmarin sebelum hurikan itu bergerak ke negeri-negeri lain, menurut Pusat Taufan Mexico. 

Pihak berkuasa tempatan di Nayarit mengeluarkan amaran banjir susulan peningkatan paras air di sungai San Pedro dan Acaponeta. Operasi memindahkan penduduk yang berada di zon berisiko masih diteruskan. – Bernama