MIAMI, 28 OKT – Hurikan Zeta dijangka melanda selatan Amerika Syarikat (AS) hari ini, membawa angin kencang dan ribut ke Louisiana, yang telah terjejas berkali-kali pada musim hurikan.
Zeta, membawa angin dengan kelajuan 150 kilometer sejam, telah menambah kekuatan dan diramalkan mendarat di tenggara Louisiana sebelum bergerak di sepanjang pantai Mississippi.
Pusat Hurikan Nasional mengeluarkan satu amaran hurikan yang merangkumi kawasan New Orleans, dan berkata ‘ribut dan angin kencang dijangka membadai di utara Pantai Teluk.’
Datuk bandar New Orleans LaToya Cantrell berkata di Twitter bahawa bandar tersebut berada di laluan hurikan dan menggesa penduduk berpindah dari kawasan itu atau menyimpan bekalan makanan, air dan ubat untuk sekurang-kurangnya tiga hari.
Zeta membawa angin kencang dan hujan lebat ke pantai Caribbean Mexico semalam selepas mendarat berhampiran bandar peranginan Tulum. Ia merupakan ribut ke-27 paling aktif pada musim hurikan Atlantik. – AFP