Husna tolak cinta Azrel?

“Saya tak bersedia untuk menjalinkan hubungan serius. Saya fikir ini bukan masa yang sesuai, jadi lebih baik kami berkawan sahaja,” demikian maklum balas pelakon jelita, Sharifah Husna menjawab kenyataan Azrel Ismail, mereka tidak berkawan rapat lagi.

Pemilik nama sebenar Sharifah Husna Syed Feizal, 27, berkata, dia mahu fokus pada diri, keluarga dan kerjaya sebelum menjalinkan hubungan cinta dengan lelaki. “Mungkin disebabkan saya tak selesa bercinta, tetapi ia bukan bermakna saya tidak selesa dengan Azrel. Kami okay saja, malah masih berkawan. “Azrel, seorang lelaki yang baik. Bagi saya, Azrel sangat okay. Cuma, saya belum bersedia untuk bercinta dan tak tahu bagaimana mahu menangani situasi ini.

“Entahlah, mungkin saya rasa bukan masa yang sesuai. Buat masa ini, saya mahu fokus membantu keluarga, kerjaya dan diri sendiri. Saya mahu jaga dan menyayangi diri terlebih dahulu, sebelum saya menjaga dan menyayangi orang lain,” katanya kepada media.

Husna dan Azrel mula rapat ketika membintangi dalam drama Puteri Yang Ditukar. Meskipun usia pelakon kacukan Melayu, Pakistan, Afganistan, Arab, British, Portugis, Belanda dan Indonesia itu menghampiri 30 tahun, Husna berkata, dia tidak mahu terkejar-kejar dalam membina rumah tangga.

“Tiada apa yang perlu dikejarkan walaupun usia menghampiri 30 tahun. Saya percaya pada ketentuan jodoh, rezeki, ajal dan maut,” katanya. Husna yang mula dikenali menerusi drama Mr Boss Miss Stalker dan Assalamualaikum Cinta itu berkata, dia gembira apabila kembali bekerja dengan menyambung penggambaran drama Bila Cupid Jatuh Cinta, esok. “Saya tidak sabar bekerja selepas tiga bulan berehat. Diakui, saya tak sabar bekerja, tetapi dalam masa yang sama, perasaan takut tetap ada. Ketika berlakon, tak boleh pakai pelitup muka, jadi saya perlu lebih berhati-hati.

“Macam mana sekali pun, kehidupan perlu diteruskan. Saya perlu bekerja dan tak boleh pentingkan diri sebab kru produksi memerlukan pekerjaan. Kalau pelakon tidak mahu bekerja, bagaimana kru mahu mencari rezeki? “Berlakon adalah tanggungjawab saya. Jadi, saya tawakal dan bekerja dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. – Agensi

Sharifah Husna mahu menyayangi diri sendiri terlebih dahulu, sebelum menjaga dan menyayangi orang lain. – Agensi