Saturday, April 20, 2024
24.8 C
Brunei

    -

    Hutan bakau boleh atasi masalah iklim

    MOMBASA, KENYA – Dalam usaha untuk melindungi komuniti-komuniti yang tinggal di pinggir pantai daripada perubahan iklim dan untuk menggalakkan pelaburan, negara-negara di Afrika kini mengalihkan tumpuan kepada projek pemulihan bakau, dan Mozambique kini menjadi negara terkini yang mengusahakan inisiatif tersebut pada skala besar.

    Usaha dilakukan Mozambique turut disertai oleh beberapa buah negara di benua itu termasuk di Kenya, Madagascar, Gambia dan Senegal. Projek itu merupakan projek penyimpanan karbon ekosistem pantai dan marin terbesar dunia. Dikenali sebagai karbon biru, karbon yang diserap oleh ekosistem ini boleh diasingkan atau menghilangkan karbon dioksida daripada atmosfera pada kadar yang lebih cepat daripada hutan walaupun saiznya adalah lebih kecil.

    Projek pemulihan bakau Mozambique telah diumumkan pada Februari bersama rakan kongsinya di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Blue Forest yang berharap untuk menjadikan 185,000 hektar di wilayah tengah Zambezia dan selatan Sofala menjadi hutan yang boleh menyerap sehingga 500,000 tan karbon dioksida, menurut ketua projek berkenaan.

    “Karbon biru boleh digunakan bukan sahaja untuk mengasingkan banyak karbon dioksida tetapi juga untuk meningkatkan kehidupan masyarakat pesisir,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Blue Forest, Vahid Fotuhi, kepada The Associated Press (AP).

    “Terdapat kira-kira satu juta hektar hutan bakau di Afrika. Secara keseluruhan ia dapat mengasingkan lebih banyak karbon dioksida daripada jumlah pelepasan tahunan negara seperti Croatia atau Bolivia.” Beliau menambah bahawa projek-projek sedemikian akan mewujudkan kerja-kerja pemulihan dan mempromosikan biodiversiti.

    Warga di tempat berkenaan menanam bakau semasa latihan komuniti untuk memulihkan habitat mereka di Mtwapa, di pantai Lautan Hindi, Kenya. – AP
    Gambar menunjukkan Lucy Jarju yang sedang bekerja untuk menangkap ikan di hutan pokok bakau di Sungai Gambia, Serrekunda, Gambia, 3 Oktober 2021. – AP
    Negara-negara di Afrika berusaha untuk melindungi komuniti persisir pantai daripada perubahan iklim yang semakin menjadi-jadi dan ia juga bertujuan bagi menggalakkan pelaburan. – AP

    Sejak beberapa dekad kebelakangan ini, hutan bakau utama Afrika musnah akibat aktiviti pembalakan, penternakan ikan yang tidak terkawal, pembangunan pantai dan lebih teruk adalah disebabkan oleh pencemaran.

    Perkara itu telah membawa kepada peningkatan pelepasan karbon dan menyebabkan komuniti pesisir pantai lebih terdedah kepada banjir dan ancaman lainnya terhadap kehidupan mereka.

    Tetapi perkembangan pemulihan bakau di benua itu sebahagiannya adalah hasil kejayaan projek Mikoko Pamoja, yang dimulakan pada 2013 di Teluk Gazi, Kenya, yang dilindungi oleh 117 hektar hutan bakau dan penanaman semula 4,000 pokok setiap tahun, mendorong negara lain untuk menangani kemusnahan kawasan pesisiran dan mengulangi kejayaan mereka.

    Mikoko Pamoja, bahasa Swahili untuk ‘bakau bersama’ telah digelar sebagai projek karbon biru pertama di dunia dengan usahanya untuk melindungi komuniti kecil di Kampung Gazi dan Makongeni daripada hakisan pantai, jumlah ikan yang semakin menurun dan perubahan iklim dan juga telah memperoleh pujian sebagai tempat yang mempunyai taraf hidup yang lebih tinggi dan pelepasan karbon yang lebih baik.

    “Mikoko Pamoja telah membawa kepada pembangunan projek dalam komuniti, termasuk pemasangan bekalan air,” kata pengerusi kampung komuniti Gazi, Iddi Bomani. “Setiap orang mempunyai air tersedia di rumah mereka.

    “Perkara itu telah membawa kepada kehidupan yang lebih baik melalui peluang pekerjaan yang terhasil oleh masyarakat,” tambah ahli jawatankuasa Mikoko Pamoja, Laitani Suleiman.

    Sejak kejayaan Mikoko Pamoja, beberapa projek lain telah dilaksanakan. Di Senegal, sebanyak 79 juta pokok bakau telah ditanam semula yang dijangka menyerap 500,000 tan karbon dalam tempoh 20 tahun akan datang.

    Gambia pula telah melancarkan usaha penghutanan semula pada tahun 2017, dengan Madagascar turut mengikuti dengan projek pemeliharaannya sendiri setelah dua tahun kemudian.

    Sementara itu, Mesir juga merancang projek pemulihan bakaunya sebelum menganjurkan persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu pada November tahun ini.

    Projek-projek berkenaan telah mencetuskan desakan untuk penjualan kredit karbon, iaitu permit yang membenarkan jumlah pelepasan tertentu sebagai imbuhan untuk pemulihan hutan atau projek pengimbangan karbon yang lainnya. Baru-baru ini, Gabon telah ditawarkan pakej gaji sebanyak AS$17 juta melalui Inisiatif Hutan Afrika Tengah kerana usaha pemeliharaannya tetapi aduan yang berterusan mengenai harga rendah yang ditawarkan kepada kerajaan Afrika.

    Afrika tetap dikecualikan daripada banyak pembiayaan yang tersedia di bawah perubahan iklim yang menyebabkan negara-negara di benua tersebut tidak dapat membina daya tahan terhadap perubahan iklim, kata ketua bahagian Iklim di Suruhanjaya Ekonomi, Jean Paul Adam.

    Oleh itu, penyelesaian yang berasaskan alam semula jadi dan menyokong harga pembangunan karbon dengan adil akan membantu meningkatkan ekonomi Afrika, tambahnya.

    Manakala, faedah penghutanan semula boleh menjadi perkara yang penting, menurut Marissa Stein dari Coral Reef Alliance.

    Marissa Stein mengatakan bahawa memulihkan dan melindungi habitat marin memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan Bumi dan bakau boleh menyimpan sehingga empat kali lebih banyak karbon sehektar dari hutan hujan tropika.

    Menurut anggaran yang dikeluarkan oleh Global Mangroves Alliance bahawa bakau boleh mengurangkan kerosakan dan risiko banjir untuk 15 juta orang serta boleh mengelak lebih AS$65 bilion kerosakan harta benda setiap tahun. – AP

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...