Thursday, April 25, 2024
26.3 C
Brunei

    -

    Hutan paya bakau miliki potensi pelbagaikan ekonomi

    Oleh Nurdiyanah R.

    Pokok bakau merupakan sejenis tumbuhan yang hidup subur di kawasan yang berlumpur, berair masin, beriklim tropika dan subtropika.

    Kawasan dikategorikan sebagai hutan paya bakau kebiasaannya terdapat di kawasan pesisiran pantai, muara sungai, di sekeliling pulau dan kawasan pengaruh air pasang surut di mana tumbuhan semula jadi ini turut didapati tumbuh di kawasan hutan paya bakau di negara kita.

    Terdapat lebih daripada 70 spesies bakau yang berlainan di seluruh dunia. Di Negara Brunei Darussalam hutan paya bakau mengandungi beberapa spesis antaranya Bakau Minyak (Rhizophora apiculata), Bakau Kurap (Rhizophora mucronata), Nyireh Bunga (Xylocarpus granatum), Linggadai (Bruguiera gymnorrhiza), Nipah (Nypa fruticans), Nipah Dungun (Heritiera globosa), Pedada (Sonneratia caseolaris) dan Nibong (Oncosperma tigillarium).

    Sebagai pengukuhan persekitaran semula jadi

    Pokok bakau banyak mendatangkan manfaat kepada manusia dan alam sekitarnya. Tanpa adanya peranan pokok bakau berkenaan maka ekosistem akan terjejas. Kepentingannya meliputi kepada nilai ekologi, ekonomi dan sosiobudaya.

    Dari segi nilai ekologi, antara peranan pokok bakau ialah dapat melindungi pinggir pantai dengan bertindak sebagai pengukuh semula jadi bagi mengurangkan kelajuan ombak dan angin yang sampai ke kawasan pinggir pantai atau menghampiri pantai. Akar pokok bakau pula berfungsi memerangkap tanah untuk memberi kestabilan kepada kawasan pinggir pantai daripada bencana alam.

    Selain daripada itu pokok bakau berperanan bagi habitat hidupan marin iaitu sebagai tempat anak ikan berlindung dan membesar. Sekiranya kawasan hutan bakau di sesuatu tempat itu pupus atau tercemar maka keseluruhan populasi ikan dan industri nelayan di kawasan tersebut akan terancam kerana tiada lagi tempat bagi anak ikan berlindung dan membesar.

    Pokok bakau juga berperanan penting dalam perkembangan hidup pelbagai jenis ketam dan udang. Oleh itu sinilah tempat spesis-spesis tersebut bertelur dan membesar sebelum berpindah ke laut.

    Pokok bakau banyak mendatangkan manfaat kepada manusia dan alam sekitarnya meliputi nilai ekologi, ekonomi dan sosiobudaya.
    Di Negara Brunei Darussalam, kayu bakau digunakan hanya untuk kayu api, arang dan juga piling.

    Memiliki nilai komersial

    Dari segi kepentingan nilai ekonomi pula pokok bakau dikatakan mempunyai nilai komersialnya yang tersendiri, di mana pokok bakau mempunyai nilai ekonomi yang tinggi dalam pasaran tempatan mahupun pasaran luar negara.

    Memandangkan pokok bakau merupakan habitat bagi hidupan marin untuk membiak dan membesar maka ia juga mempunyai peranan yang penting dalam memastikan sektor perikanan tempatan tidak terjejas. Dalam pada itu masalah kepupusan ikan dalam sektor perikanan tidak akan terjadi kerana kitaran semula jadi ikan masih lagi terpelihara.

    Malahan penduduk tempatan juga boleh mendapatkan bekalan makanan laut tambahan yang terdapat di sekitar pokok bakau dengan menangkap ketam, udang dan sebagainya. Hal ini sekali gus dapat meningkatkan pendapatan hasil penjualan ikan-ikan tersebut.

    Di samping itu dari segi kepentingan nilai sosiobudaya pula ialah kawasan hutan bakau juga dikatakan mempunyai nilai estetikanya yang dapat dijadikan tapak pelancongan dan rekreasi. Oleh itu hal ini juga dapat menjurus kepada nilai ekonomi yang tinggi dalam sektor agropelancongan sesebuah negara. Selain daripada itu ia juga merupakan suatu sumber yang amat sesuai untuk program-program pendidikan alam sekitar dan juga penyelidikan saintifik.

    Terokai potensi

    Kepentingan serta keunikan bakau memang diketahui secara amnya akan tetapi maklumat serta teknologi yang ada tidak mencukupi untuk memperkenalkan sistem pengurusan yang sesuai yang boleh menolong menyedarkan tentang potensi serta kepelbagaian fungsi bakau yang ada di Negara Brunei Darussalam. Kawasan persisiran pantai merupakan tempat untuk kehidupan seperti bakau dan batu karang yang boleh menjana kepada aset ekonomi seperti makanan dan perlindungan kepada manusia.

    Seperti yang kita sedia maklum di Negara Brunei Darussalam, bakau digunakan hanya untuk kayu api, arang dan juga piling. Bahkan sebenarnya jika dilihat pada negara-negara lain, terdapat banyak lagi kegunaan bakau yang boleh menyumbang kepada ekonomi negara selain yang disebutkan tadi.

    Penulis akan membawa pembaca menerokai penggunaan bakau dari dua buah negara iaitu Vietnam dan Indonesia dan bagaimana mereka telah meningkatkan ekonomi negara melalui pengusahaan bakau dengan meluaskan penggunaan bakau tersebut.

    Salah satu kepelbagaian yang dibuat oleh segelintir masyarakat Vietnam adalah tanin iaitu dengan menggunakan kulit bakau untuk pembuatan tali pinggang dan pelbagai benda yang diperbuat daripada kulit. Selain itu tanin juga digunakan untuk mewarnakan jala, tali, layar dan juga tekstil. Untuk mendapatkan kualiti yang bagus, mereka kebiasaannya menggunakan kulit bakau dari jenis Ceriops dan Rhizophora.

    Namun begitu, terdapat kalangan masyarakat Vietnam juga didapati telah menghasilkan ubat-ubatan herba iaitu lebih 30 jenis bakau digunakan untuk mengubati 44 jenis penyakit tertentu. Antaranya daun dari spesis Acanthus ilicifolius bagi mengubati sakit sendi reumatik dan ucuralgia dan rebusan biji benih dari spesis Heritiera littoralis pula dijadikan ubat untuk cirit-birit dan dysentery.

    Sementara itu bakau di Indonesia juga digunakan untuk membuat kayu api, arang batu dan juga piling akan tetapi penggunaan yang lebih menguntungkan ialah dari segi industri perikanannya iaitu dengan mengembangkan tambak (kolam ikan buatan manusia) yang merupakan salah satu cara untuk melaksanakan ekosistem bakau di mana udang kecil dan ikan dihasilkan. Sebahagian besar kolam ikan tersebut diluaskan di bahagian tepi bakau kawasan ekosistem dan sebahagian lagi di kawasan tanah pantai. Walaupun perubahan daripada ekosistem bakau kepada kolam ikan boleh merosak akan tetapi ia merupakan salah satu cara yang paling cepat untuk meningkatkan keuntungan.

    Kolam ikan menyediakan banyak peluang pekerjaan dan memberi galakan kepada industri seperti kilang memproses ikan. Kolam ikan yang diusahakan di kawasan bakau ini menjana keuntungan yang lebih daripada yang diusahakan di tempat lain. Ia bukan saja memberikan peluang pekerjaan kepada komunitinya bahkan kepada penduduk tempatan dan juga kerajaan pusat.

    Usaha ke arah kepelbagaian ekonomi

    Negara Brunei Darussalam tidak boleh bergantung selama-lamanya kepada ekonomi minyak dan gas. Inisiatif-inisiatif lain haruslah diambil kira untuk mempelbagaikan ekonomi dengan melihat kepada kegunaan dan potensi sesuatu itu dan menjadikannya sebagai salah satu sumber ekonomi negara.

    Di samping berpotensi dalam meningkatkan hasil perikanan, pokok bakau sangat tinggi dalam meningkatkan ekonomi sesebuah negara misalnya dari segi pengkomersialan hasil produk pokok bakau tersebut antaranya kayu untuk pembinaan tiang rumah, arang dan kayu api, tanin dan ubat-ubatan.

    Hakikatnya, apabila diselami bersama, pokok bakau mampu mencetus sumber ekonomi maritim yang dapat menjana ekonomi sesebuah negara. Akan tetapi semua pihak seharusnya memainkan peranan penting dalam memastikan kawasan pokok bakau ini terus berkekalan dan tidak hanya memandang untuk mendapat keuntungan sahaja.

    Ini adalah kerana jika pengeksploitasian pokok bakau dilakukan secara berlebihan maka hal ini akan menyebabkan pokok bakau akan berkurangan dan keseimbangan ekosistem juga turut terancam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Hingga 160 paus pilot terdampar di Australia, sekurang-kurangnya 26 maut

    MELBOURNE, 25 APRIL - Sehingga 160 ekor paus pilot bersirip panjang terdampar di pantai barat Australia hari ini dan sekurang-kurangnya 26 maut sebelum pihak...