PARIS, 28 APRIL – Sebahagian besar hutan hujan tropika dibakar atau ditebang untuk kegiatan bercucuk tanam dan penternakan pada tahun lalu, dipimpin kemusnahan di Brazil, kata penyelidik hari ini, justeru mengingatkan perubahan iklim sendiri menjadikannya lebih sukar untuk memulihkan keadaan tersebut.
Kira-kira 11.1 juta hektar litupan pokok hilang di seluruh hutan tropika pada 2021, dengan 3.75 juta hektar berlaku dalam hutan pokok-pokok tua, menurut penyelidikan tahunan oleh Pemerhati Hutan Global, Institut Sumber Dunia dan Universiti Maryland.
”Ia bersamaan dengan saiz 10 padang bola sepak setiap minit. Dan ia berlaku berterusan selama setahun,” kata Rod Taylor, yang mengetuai Program Hutan WRI.
Penyelidik menganggarkan kehilangan hutan tropika pada 2021 mengakibatkan pelepasan 2.5 gigaton karbon dioksida ke dalam atmosfera, bersamaan dengan pelepasan bahan api fosil setahun di India.
Lebih 40 peratus daripada jumlah hutan tropika hilang pada 2021 terletak di Brazil, di mana kira-kira 1.5 juta hektar ditebang atau dibakar.
Ia disusuli Republik Demokratik Congo, yang melihat hampir 500,000 hektar lenyap, sementara pemusnahan hutan Bolivia mencecah tahap tertingginya sejak rekod bermula pada 2001 pada 300,000 hektar. – AP