Hutang AS cecah rekod

WASHINGTON, 20 Feb – Jumlah hutang Amerika Syarikat (AS) yang lebih besar daripada ekonominya mencecah rekod baharu AS$22 trilion di bawah Presiden Donald Trump tetapi Republikan yang secara tradisinya begitu vokal terhadap hutang dan defisit masih membisu.

Jumlah pinjaman untuk menutup defisit kronik serta peningkatan pembayaran faedah menjadikan hutang AS$19.95 trilion ketika Trump memasuki Rumah Putih mencecah tahap yang sama dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS buat pertama kali sejak Perang Dunia II.

Sebagai perbandingan, hutang Perancis juga hampir sama dengan KDNK apabila mencatat jumlah lebih kurang 2.3 trilion euro (kira-kira AS$2.6 trilion) pada akhir September.

Pemotongan besar cukai korporat yang Trump sogokkan pada akhir 2017 dan lonjakan perbelanjaan terutama dalam pertahanan, telah meningkatkan defisit fiskal untuk ekonomi terbesar dunia itu.

“Jika kita tidak mempunyai tentera yang kuat, anda tidak perlu bimbang tentang hutang. Anda mempunyai masalah yang lebih besar,” kata Trump kepada pemberita minggu lalu.

Para pegawai pentadbiran terus berhujah bahawa pemotongan cukai yang dijangka akan melebarkan defisit sebanyak AS$1.5 trilion dalam tempoh 10 tahun, bakal memberi pulangan dengan meningkatkan pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan pendapatan cukai.

Walaupun pertumbuhannya lebih pantas, defisit belanjawan itu paling teruk sejak 2012 apabila naik 17 peratus kepada AS$779 bilion tahun lepas. Menurut Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) yang tidak berpihak, defisit dijangka melambungkan lagi tahun ini kepada AS$900 bilion.

AS menyaksikan lebihan bajet selama empat tahun di bawah presiden Demokrat Bill Clinton ketika ekonomi AS berkembang pesat tetapi perang di Iraq di bawah Parti Republikan George W. Bush sekali lagi memburukkan kewangan persekutuan.

Presiden Demokrat Barack Obama terpaksa berurusan dengan krisis kewangan global 2008 yang memerlukan peningkatan dalam perbelanjaan kerajaan sehingga belanjawan persekutuan merosot begitu teruk. – AFP

Gambar fail 8 Jun 2017 menunjukkan bangunan Perbendaharaan AS di Washington. Hutang AS mencecah rekod tertinggi sejak Perang Dunia II di bawah pentadbiran Trump. – AP