Hutang, pengangguran akibat virus cetus kemelesetan teruk – IMF

DUBAI, 15 APRIL – Tahap hutang, pengangguran dan belanjawan berkurangan akan memuncak ketika Timur Tengah berdepan kemelesetan akibat koronavirus, menambah kesukaran terhadap ekonomi-ekonomi yang sudah pun dilanda konflik dan kemerosotan harga minyak, kata IMF hari ini.

Hampir semua negara di Timur Tengah dan Afrika Utara akan menyaksikan ekonomi-ekonomi mereka mengecut dengan mengalami kerugian berbilion dolar dalam pendapatan, kata pemberi pinjaman global itu.

“Pandemik COVID-19 dan harga minyak menjunam telah menyebabkan pergolakan ekonomi nyata di rantau itu….impaknya mungkin berpanjangan,” menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dalam Ramalan Ekonomi Serantau bagi April.

“Walaupun adanya ketidakpastian banyak di sekitar tempoh dan anggaran krisis, pandemik itu akan memburukkan lagi masalah pengangguran rantau itu, malah menjejaskan lagi hutang luaran dan awam yang sudah pun melambung tinggi.

Dalam Ramalan Ekonomi Dunia yang disiarkan kelmarin, IMF mengunjurkan ekonomi MENA mengecut sekitar 3.3 peratus pada 2020, kemerosotan besar dalam masa empat dekad.

Menurutnya lagi, kejutan berganda tentang virus dan harga minyak rendah akan mengurangkan ekonomi dunia Arab sebanyak AS$323 bilion atau 12 peratus – AS$259 bilion daripadanya adalah dari negeri-negeri Teluk yang bergantung pada tenaga.

Hutang kerajaan Arab akan meningkat sekitar 15 peratus atau AS$190 bilion tahun ini hingga mencapai AS$1.46 tri-lion, menurut data IMF, ketika kos peminjaman melonjak akibat keadaan kewangan yang ketat.

Harga minyak pada tahap ini boleh mengakibatkan kerugian pendapatan tahunan lebih AS$230 bilion daripada pengeksport-pengeksport minyak Arab dan Iran, menurutnya. – AFP

Pintu masuk ke ibu pejabat IMF dilihat kosong di Washington pada 14 April. – AFP