Hyundai labur AS$1.5B di Indonesia

SEOUL, 27 NOV – Firma Korea Selatan Hyundai Motor telah menandatangani satu perjanjian untuk membina kilang kereta berharga AS$1.5 bilion di Indonesia, kata syarikat, yang pertama di Asia Tenggara, di mana pengeluar kereta Jepun menguasai pasaran.

Perjanjian itu dicapai tatkala Seoul berusaha mempelbagaikan ekonominya yang bergantung pada perdagangan, ke-11 terbesar di dunia, mengelak daripada bergantung pada rakan tradisional China dan Amerika Syarikat (AS).

Indonesia ialah pasaran kereta terbesar di rantau, dan perjanjian bernilai AS$1.55 bilion itu bertujuan ‘mengatasi permintaan yang lembap dalam pasaran kereta global’ dan merangsang pertumbuhan masa depan, kata Hyundai dalam satu kenyataan.

Kilang itu, dibina di Bekasi, timur Jakarta, akan memulakan pengeluaran pada 2021, kata Hyundai, bertujuan mengeluarkan 250,000 kenderaan setahun. Presiden Korea Selatan Moon Jae-in telah mendesak pelaksanaan ‘Dasar Selatan baharu’, berusaha merangsang hubungan ekonomi dengan Asia Tenggara tatkala negara bercita-cita mengurangkan kebergantungan pada Beijing dan Washington, dan pengumuman Hyundai keluar serentak dengan sidang kemuncak Korea Selatan-ASEAN di Busan.

Hyundai, pengeluar kereta terbesar Selatan, berkata ia membina kilang di Indonesia untuk mengelak tarif import dari lima peratus hingga 80 peratus di rantau ASEAN.

Buat masa sekarang, ia ketinggalan jauh di belakang pesaing Jepun di rantau, dengan jualan mencecah 122,883 kenderaan berbanding 854,032 Toyota dan 351,267 Renault-Nissan-Mitsubishi dari Januari hingga September tahun ini, menurut firma penyelidikan LMC Automotive.

Bank pusat Korea Selatan pada bulan lalu memotong kadar faedah utama kepada kadar paling rendah dalam dua tahun dalam usaha untuk me-rangsang pertumbuhan lembap dengan ekonomi terjejas oleh perbalahan perniagaan dengan Jepun. – AFP