TEHRAN, 14 Mac – Hyundai telah menandatangani perjanjian bernilai tiga bilion euro (AS$3.2 bilion) untuk melabur dalam projek gas terbesar Iran, firma Korea Selatan mengesahkan kelmarin.
Hyundai Engineering merancang untuk melabur 3.1 bilion euro dalam fasa kedua projek penapisan dan pengeluaran gas Kangan di barat daya Iran, katanya dalam satu kenyataan.
Persetujuan itu menandakan salah satu pelaburan terbesar sejak persetujuan nuklear 2015 antara Tehran dan kuasa dunia membatalkan sekatan global di Iran.
Media Iran berkata perjanjian itu telah ditandatangani di Tehran oleh Ketua Pegawai Eksekutif Hyundai Engineering, Sang Ruk Sang, yang kemudian menuju ke selatan untuk menyelia pelancaran barisan pemasangan baru bagi kereta Elantra syarikat itu.
Laporan itu berkata Hyundai menjadi rakan kongsi dengan Kerman Khodro bagi kilang kereta baru, tanpa memberi butiran selanjutnya.
Syarikat Korea Selatan akan mempunyai sembilan bulan untuk menjamin pembiayaan bagi projek gas – wujudkan halangan yang berpotensi disebabkan keengganan bank-bank antarabangsa untuk terus terbabit dengan Iran.
Mendapatkan dana menerusi bank-bank Korea akan ‘menjadi paling penting dan langkah yang sukar,” kata Asghar Arefi, ketua Syarikat Pelaburan Ahdaf Iran yang menjadi rakan kongsi dalam projek itu, menurut agensi berita Shana yang berkaitan dengan kementerian minyak Iran. – AFP