Thursday, October 10, 2024
30.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Hyundai perkenal SUV baru guna sel bahan bakar

    SEOUL, 17 Ogos – Hyundai Motor hari ini berkata pada awal tahun depan ia merancang melancarkan kenderaan fuel cell (sel bahan bakar) hidrogen generasi kedua yang akan mampu membuat perjalanan lebih 580 kilometer dengan pengisian penuh

    Jika dilancarkan seperti yang dijanjikan, kenderaan baru fuel cell ini akan mampu membuat perjalanan 40 peratus lebih jauh dari SUV fuel cell generasi pertamanya, Tucson ix FCEV yang telah dilancarkan pada tahun 2013.

    Kereta fuel cell, tidak mengeluarkan asap seperti kereta elektrik, boleh diisi semula bahan bakar dalam dua hingga tiga minit tidak seperti kenderaan elektrik yang boleh mengambil masa beberapa jam untuk sepenuhnya mengecas semula.

    Namun kekurangan stesen mengisi hidrogen adalah halangan bagi penerimaan secara besar-besaran.

    Toyota, Honda, dan General Motors juga melabur banyak dalam teknologi fuel cell tetapi kereta fuel cell kurang meraih tarikan berbanding dengan kenderaan elektrik, yang boleh mendapatkan stesen mencaj dengan lebih mudah.

    Naib Presiden Eksekutid Hyundai Motor Co, Lee Kwang-guk bergambar bersama kenderaan fuel cell hidrogen terbaru semasa pengenalan media di Seoul, kelmarin. – AP
    Naib Presiden Eksekutid Hyundai Motor Co, Lee Kwang-guk bergambar bersama kenderaan fuel cell hidrogen terbaru semasa pengenalan media di Seoul, kelmarin. – AP

    Korea Selatan merancang menambah bilangan stesen mengisi hidrogen dari 16 stesen tahun ini kepada 100 buah stesen pada tahun 2020 untuk menaikkan jualan kenderaan fuel cell.

    Negara itu berhasrat mempunyai 10,000 kenderaan fuel cell di jalan-jalan rayanya menjelang 2020 untuk membantu mengurangkan pencemaran udara, menurut kementerian persekitarannya pada Mac lalu.

    Itu akan membawa kepada lonjakan dari hanya 121 buah kereta fuel cell dalam tahun 2016. Hyundai Motor juga bercadang bersaing dalam perlumbaan mengeluarkan kereta mesra alam dengan kenderaan elektrik dengan pemanduan jarak lebih jauh.

    Ia merancang melancarkan kenderaan elektrik dengan jarak pemanduan 500 kilometer selepas tahun 2021.

    Sebelum musim panas tahun depan, ia merancang mengeluarkan kenderaan utiliti sport elektrik kecil dengan jarak pemanduan 390 kilometer setiap satu caj.

    Satu sebab para pemandu keberatan untuk membeli kenderaan elektrik ialah mereka bimbang tidak dapat mencari stesen mencaj di tengah perjalanan.

    Kereta elektrik pertama Hyundai IONIQ telah dilancarkan tahun lalu mempunyai jarak pemanduan 191 kilometer setiap caj, lebih pendek dari kenderaan elektrik buatan Tesla dan General Motors. – AP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda