Hyundai tawar kenderaan hidrogen 2028

MUNICH, JERMAN, 8 SEPT – Hyundai sedang meningkatkan pembangunan teknologi hidrogen dan merancang menawarkan enjin yang menggunakan bahan api tersebut dalam kesemua kenderaan komersialnya mulai 2028, kata syarikat semalam.

Konglomerat Korea Selatan itu, yang telah mempelopori hidrogen dengan kenderaan SUV Nexo dan kenderaan berat pertama di jalan raya Eropah, berjanji melancarkan kereta sel bahan api hidrogen pada harga kenderaan elektrik mulai 2030.

Mulai 2023, sel bahan api generasi ketiga Hyundai akan berkurangan pada harga separuh, lebih kecil dan lebih berkuasa berbanding model sebelumnya, kata pengeluar kereta ketiga terbesar di dunia berdasarkan pengeluaran dalam sidang media dalam talian.

“Matlamatnya adalah menjadikan hidrogen sedia digunakan untuk semua orang, segala-galanya dan di semua tempat,” kata Presiden Hyundai Euisun Chung.

“Kami berhasrat membantu memupuk masyarakat hidrogen di seluruh dunia menjelang 2040.”

Kumpulan itu juga melancarkan konsep kereta sport baharu. Vision FK, dilengkapi dengan sel bahan api dan bateri elektrik, menjanjikan pemecutan 0-100 kilometer sejam dalam kurang empat saat dan jarak 600 kilometer.

Sementara kebanyakan industri kereta menumpu pada pembangunan kereta bateri elektrik sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui, Hyundai dan Toyota pula menyokong hidrogen. – AFP

Sebuah mesin pengorek menggunakan sel hidrogen dipamerkan di petak Hyundai semasa Pameran Tenaga Hidrogen di pusat pameran Kintex di Goyang kelmarin. – AFP